"EH, itu bukan perempuan tadi ke?" Azrel menyiku Haqq sambil muncungnya menunjuk pada suatu arah.
Pandangan Haqq beralih, memandang dua orang gadis yang sedang menikmati aiskrim di taman yang berhadapan dengan Restoran Western Forest. Dia memberi isyarat agar mereka mendekati dua orang gadis itu.
Setelah berdeham untuk menarik perhatian dua gadis itu, Haqq memberi salam. Dua orang gadis itu menoleh kepadanya serentak setelah salam bersambut.
"Kalau tak silap, cik berdua ni yang datang ke Restoran Western Forest tadi, kan?" Jari telunjuk Haqq menuding kepada mereka berdua.
Dua orang gadis itu berpandangan seketika.
"Maaflah kalau saya mengganggu. Saya cuma nak pulangkan ini." Haqq menghulurkan pendrive merah kepada gadis penjual ikan.
Gadis itu memeriksa poket seluarnya. Matanya membulat dan terus perhatiannya jatuh pada pendrive di tangan Haqq.
"Pendrive saya? Ya Allah... Terima kasih." Pendrive diambil.
"Saya betul-betul tak perasan pendrive ni jatuh. Pendrive ni penting sangat. Nasib baik encik jumpa dan pulangkan semula. Saya terhutang budi dengan encik." Dia tayang muka terharu.
"Eh, apa pula cakap macam tu. Kebetulan aje tu," kata Haqq.
"Apa-apa pun, terima kasih banyak-banyak, encik..." Gadis itu menuding ibu jari kepada Haqq.
"Haqq."
"Haqq? Haqq... Hmm... Nama encik sama dengan nama pengarah eksekutif di shoplot yang kita orang sewa. Kan?" Dia menoleh kepada kawannya.
Kawannya mengangguk.
"Uh? Oh... Sama nama tu perkara biasa." Haqq mengerling Azrel dengan sebelah kening terjongket.
Azrel hanya menjongketkan bahu dan tayang gaya 'entah'.
"A'ah, itu memang perkara biasa. Tapi, semua orang yang menyewa dekat shoplot tu panggil dia The Incredible Hulk. Tapi saya suka panggil dia Hulk Hijau," beritahu gadis itu.
"Shoplot dekat mana ek?" Dahi Haqq sudah berkerut.
"Tu." Gadis itu menuding pada struktur bangunan setinggi 25 tingkat di hadapan mereka.
Golden Twin Tower?! Haqq terus terbatuk.
Hampir sahaja tawa Azrel terhambur. Namun, cepat-cepat dia menyembunyikan tawa itu dengan batuk yang dibuat-buat apabila Haqq mengerlingnya.
"Ada apa-apa yang istimewa ke? Boyfriend?" Haqq mengibas-ngibas leher baju. Tiba-tiba sahaja terasa panas.
"Eh, takdelah." Gadis itu menggawangkan tangannya, menafikan apa yang dikatakan Haqq.
"Pernah jumpa orangnya?" Haqq mencekak sebelah pinggang.
"Tak pernah pun." Gadis itu menggeleng.
"Kalau dia awak panggil Hulk Hijau, agaknya saya ni Hulk apa pulak ya?" tanya Haqq. Giginya diketap.
"Hulk Hogan." Laju gadis itu membalas dengan nada gurauan.
"Pandai buat lawak ek." Haqq pura-pura ketawa. Dia melirik Azrel yang sedang memberi isyarat tangan agar dia tetap bertenang.
"Maaflah. Saya bergurau aje. Kalau bukan Hulk Hogan, Hulk apa ya?"
"Haqq Zulkarnain. H-A-Q-Q."
"Ah... Haqq Zulkarnain." Terangguk-angguk kepalanya menyebut.
"Awak nak tak kalau saya ofer awak kerja? Nanti awak boleh makan dekat restoran tadi tu." Haqq senyum segaris.
"Awak ingat saya ni penganggur ke?" Wajah gadis itu bertukar tegang.
"Saya tak fikir macam tu pun. Cuma, kalau awak berminat untuk tukar kerja atau... tukar angin, tukar persekitaran... Itu pun, kalau awak berminatlah."
"Nantilah saya fikirkan." Acuh tak acuh gadis itu menjawab.
"Ini kad saya. Kalau awak berminat, awak boleh hubungi saya." Haqq menghulurkan kad namanya.
"Awak fikirlah masak-masak. Ambillah seberapa banyak masa yang awak perlukan. Kalau ada apa-apa, awak boleh call saya, puan..."
"Cik! Saya belum kahwin lagi. Huh, tengoklah nanti macam mana."
Haqq dijeling tajam. Jelas dia tidak berpuas hati apabila disangka sudah berkahwin.
"Ops, sorry, cik. Cik nama apa ya?" Haqq menahan gelak. Memang sengaja dia mahu menyakitkan hati gadis itu.
"Maaflah, saya ni kadang-kadang ada amnesia. Amnesia saya teruk juga. Sampai terlupa nama sendiri. Kalau dah ingat nanti saya beritahu." Gadis itu tayang gaya selamba.
"Kalau macam tu, tak apalah, Cik Amnesia. Kita orang minta diri dulu. Pendrive tu jaga elok-elok. Kalau boleh tulis note kat mana awak letakkan pendrive tu. Orang yang ada amnesia on-off ni memang kena buat macam tu. Jumpa lagi."
Haqq melemparkan senyuman sinis lalu mengaut leher Azrel dengan lengannya dan menarik lelaki itu pergi dari situ.
"Serius kau nak ambil perempuan tu kerja dengan kau? Cik Amnesia tu macam takde adab sikitlah. Dahlah kau pulangkan pendrive dia." Azrel tergeleng.
"Mana ada. Saja nak bagi name card aku. Biar dia tengok sendiri dengan siapa dia bercakap." Haqq tersenyum herot.
Tanpa menunggu jawapan Azrel, Haqq terus menarik lengan lelaki itu agar bersembunyi di balik pokok.
"Hah? Alamak! Megat Haqq Zulkarnain bin Megat Alam Shah? Golden Group?!"
Haqq ketawa perlahan apabila mendengar suara gadis itu. Dia memandang Azrel di sebelah. Azrel menaikkan ibu jarinya, tanda bagus.
Haqq menjongketkan kening dan tayang wajah megah. Lalu memberi isyarat agar mereka beredar.
"Terbaiklah! Tentu Cik Amnesia tu tak berani nak jumpa kau lagi." Azrel menoleh kepada dua orang gadis yang sudah jauh mereka tinggalkan.
"By the way, Mr. Investigator... Budak-budak kat GG panggil aku The Incredible Hulk ke?" soal Haqq.
"Erk..."
NUH menunggang Ninjanya keluar dari simpang. Malang tidak berbau, sebuah motosikal datang dari arah bertentangan. Hampir sahaja dia berlanggar dengan motosikal itu. Mujur dia cepat mengelak. Namun, motosikalnya terbabas lalu jatuh ke lantai jalan.
Dia bangun lalu mengangkat Ninjanya. Jaket hitamnya yang terlekat dengan debu putih dikibas dengan tapak tangan. Ninja kesayangannya dibelek tanpa membuka helmet.
"Helo..."
Seorang gadis mendekati lalu mengintai wajahnya di sebalik helmet fullface yang dipakainya. Dia membuka cermin yang menutup matanya dan memandang gadis itu.
"Awak tak belajar undang-undang ke? Sebelum keluar simpang, sepatutnya awak tengok dulu, kanan, kiri, kanan! Ada kenderaan lain atau tak. Kalau ada kenderaan lain, tolong beri laluan dulu. Nampak tak signboard tu?" Gadis itu menuding ke satu arah.
Nuh melirik papan tanda yang dimaksudkan lalu memandang semula gadis yang sedang mengomel di hadapannya.
"Awak dengar tak apa yang saya kata? Awak ni tahu undang-undang ke tidak?" Gadis itu menyilang tangan.
"Awak ni cikgu sekolah memandu ke?" Soalan pertama yang keluar dari mulut Nuh setelah dia membuka helmet yang dipakai. Rambutnya dibetulkan dengan jari.
Gadis itu menjulingkan mata.
"Kalau ya pun salah saya, awak tak boleh cakap elok-elok sikit ke?" Nuh terus mendekati motosikal gadis itu dan bertinggung di depannya.
"Awak buat apa tu?"
"Saya tengah periksa motosikal awaklah. Cuba start motosikal awak ni," suruh Nuh.
Senyap. Nuh memandang gadis itu. Pandangan gadis itu kaku pada sebuah kereta Suzuki SX4 yang sedang melintasi lorong itu.
"Helo madam! Dengar tak apa yang saya cakap?" Nuh memetik jari di hadapan muka si gadis.
"Saya tak pekaklah. Saya dengar!" Gadis itu melenting.
"Tunggu apa lagi? Cubalah start."
Gadis itu melakukan seperti apa yang disuruh dan membuat beberapa pusingan di hadapan Nuh.
"Semua macam okey. Buat masa nilah." Gadis itu menghentikan motosikalnya di hadapan Nuh.
"Awak okey tak? Nak ke klinik?" Atas bawah Nuh pandang gadis itu. Cuba melihat jika ada bahagian tubuh yang tercedera.
"No, thanks. Saya okey aje."
"Kan lebih elok kita ke klinik dulu. Mana tahu..."
"Awak ni tak faham bahasa ke?" Bibir si gadis sudah herot.
"Saya cuma berbahasa aje. Sekurang-kurangnya, awak bersopanlah sikit." Kepala Nuh tergeleng.
"Apa kata awak bagi aje nombor telefon awak. Mana tahu, esok lusa motosikal ni buat hal. Bolehlah saya claim ganti rugi." Gadis itu menghulurkan telefonnya.
"Awak nak nombor telefon saya? Pasal nak claim ganti rugi ke atau ada sebab lain?" Nuh mencapai telefon yang dihulurkan lalu memasukkan nombor telefonnya. Kemudian, dia menghubungi telefonnya sendiri untuk menyimpan nombor telefon gadis itu.
"Eii... perasan!" Gadis itu tayang muka meluat.
Nuh tersenyum nipis lalu menyerahkan semula telefon milik gadis itu.
"Kalau sejam dua lagi motosikal ni buat hal, saya akan contact awak," tegas gadis itu
"Okey. Nama?" tanya Nuh.
"Hazel."
Nuh terus memasukkan nama Hazel lalu menyimpan nombor telefon gadis itu dalam senarai contactnya.
"Nama awak pula?" Hazel memerhati skrin telefon.
"Rahsia."
"Apasal poyo sangat ni? Takkan saya nak kena cakap, Helo, ini Encik Rahsia ke?" Hazel menukar suara halus gaya mengejek sambil meletakkan tangannya di telinga.
"Kalau awak cakap macam tu, tahulah saya siapa yang telefon. By the way, awak tinggal dekat sini ke? Tak lama lagi saya pun akan menyewa di sini. Boleh kita jumpa hari-hari."
"Eii, tak kuasa nak jumpa dengan awak." Hazel menjulingkan mata. Dia terus berlalu pergi bersama motosikalnya.
Nuh tersenyum.
You are reading the story above: TeenFic.Net