BAB 3

Background color
Font
Font size
Line height

"BRO, kau panggil aku ke?" Azrel masuk bersama pertanyaan sebaik sahaja mengetuk pintu pejabat Haqq.

"Duduklah dulu." Haqq menunjuk pada kerusi di depannya.

"Aku tengah busy ni." Azrel menarik kerusi dan duduk di hadapan Haqq.

"Uncle Megat minta aku kumpulkan maklumat penting dan siasat tentang semua BOD dari dulu sampai sekarang. Dia nak tahu perkembangan terbaru mereka," katanya.

"Nak buat apa?" Dahi Haqq berkerut.

Azrel mengangkat bahu. "Aku cuma buat apa yang disuruh."

"Ada apa-apa maklumat terbaru tentang Tengku Umar dan Izzu?"

"So far, aku tak terima apa-apa maklumat yang mencurigakan tentang mereka berdua. Cuma, baru-baru ni aku dapat tahu Tengku Umar sedang memujuk beberapa orang shareholder untuk menjual syer dia orang. Tapi kau jangan risaulah. Dia orang sentiasa diperhatikan. Itu, aku berani jamin."

"Serius?" Kening Haqq berkerut.

"Come onlah... budak-budak aku memang tip top."

"Hurm... Nampaknya, memang dia orang terdesak nak dapatkan syer terbesar. Kalaulah perkara tu terjadi, mungkin aku dan daddy akan kena tendang dari GG. Kalau tidak pun, Tengku Umar akan gantikan posisi daddy dengan orang lain. Dan melantik diri sendiri menjadi Presiden GG." Haqq bersandar di belakang kerusi.

"Mungkin sebab tu juga daddy terdesak untuk masukkan Nuh ke sini semula." Haqq membuat kesimpulan.

"Penting sangat ke Nuh ada di GG?" tanya Azrel.

"Ramai BOD yang ada hubungan baik dengan Nuh. Pengaruh Nuh agak kuat walaupun dia tak ada saham dalam GG."

"So, kau rasa Uncle Megat perlukan Nuh sebagai orang tengah?"

Haqq mengangguk. "Aku tak kisah tentang aku. Aku pun takde niat nak berebutkan jawatan di sini. Aku cuma nak daddy kenal aku, sama macam dia kenal Nuh. Aku nak daddy pandang aku, sama macam dia pandang Nuh. Cukuplah kalau aku tahu daddy bangga dengan aku. Sebab, aku ni anak kandung dia."

"Macam mana kalau Nuh berpaling tadah? Maksud aku, kalau dia menyokong Tengku Umar dan menentang Uncle Megat?" soal Azrel.

"Mungkin sebab tu jugalah daddy nak Nuh balik semula ke GG dan tinggal di vila. Dengan cara macam tu, ikatan kekeluargaan akan memainkan peranan."

"Aku ada sesuatu nak tunjuk pada kau. Mungkin ini dapat bantu kita." Azrel meletakkan sebuah fail merah di atas meja lalu menolaknya ke hadapan Haqq.

"Apa ni?"

Azrel sekadar membuat gaya menyuruh Haqq membuka fail itu.

Sebaik sahaja membuka fail merah yang diberikan Azrel, sekeping gambar seorang perempuan menjadi fokusnya. Haqq mengambil gambar itu lalu membalikkannya kepada Azrel.

"Siapa perempuan ni? Macam kenal." Kening Haqq berkerut.

"Kau ingat lagi Cik Amnesia yang kita jumpa dulu? Perempuan yang kau pulangkan pendrive dia sewaktu kita makan di restoran di tingkat bawah bangunan ni?" soal Azrel.

"Ah, perempuan sewel tu? Yang panggil aku Hulk Hijau tu?" Haqq memetik jari setelah mengingati peristiwa yang berlaku beberapa hari lepas.

"Kenapa dengan perempuan ni?" soalnya.

"Nama Cik Amnesia yang sebenar adalah Hazel Ayana. Kedai jahit di Blok Arena didaftarkan atas nama dia, Kedai Jahit Ayana. Berusia 25 tahun dan masih single," beritahu Azrel.

"Hazel Ayana. What a nice name. Dia tukang jahit ke?"

"Yup. Tapi kedai jahit tu dihandle oleh kawan dia yang kita jumpa hari tu. Si cantik Azirra. Kedai jahit tu pula tak dibuka untuk tempahan menjahit atau untuk alter baju," jelas Azrel.

"Pelik. Habis tu, apa yang dia orang buat dengan kedai jahit tu?"

"Ini yang best ni. I bet, you will never believe it."

Haqq buat gaya, apa?

"She is a fashion designer and the owner of Ayana's Online Buotique. This make sense why Kedai Jahit Ayana tak dibuka untuk orang ramai hantar baju kat situ."

"Fashion designer?" Haqq ternganga memandang Azrel.

Azrel mengangguk. "Selain tu, dia adalah anak kepada pengusaha restoran makanan laut, Restoran Larut Malam."

Haqq tayang muka terkejut.

"Macam tak percaya kan?" Kening Azrel sudah terjongket-jongket.

"Tak sangka kan? Dressing macam penjual ikan, rupa-rupanya fashion designer. Ada restoran pula tu." Dia menyerahkan semula telefon Azrel.

"Tak salahlah kata orang, don't judge a book by its cover."

"By the way, kenapa kau siasat pasal perempuan ni?" Haqq menaikkan kening.

"Nuh... he was chasing this girl." Telunjuknya menuding gambar Hazel yang ada di tangan Haqq.

"What? Takkanlah! Nuh? Perempuan macam ni? Nonsense!" Haqq kehilangan kata.


HAQQ menuju ke kedai mini di simpang jalan untuk membeli minuman. Masuk sahaja ke dalam kedai mini itu, dia terus menuju ke peti sejuk yang tersusun di bahagian tepi dinding.

Sebotol 100 Plus yang terletak di barisan bawah sekali di dalam peti ais dicapai. Saat dia berdiri tegak dan berpusing, matanya terpandangkan seseorang. "Cik Amnesia..."

Ketika itu, Cik Amnesia atau Hazel sedang membuat bayaran di kaunter hadapan. Dia memperlahankan langkah sehingga gadis itu berlalu keluar dari kedai.

Setelah membuat bayaran, Haqq tidak terus keluar. Sebaliknya dia menunggu di dalam kedai dan memerhatikan Hazel yang sedang menyusun barang di dalam bakul motosikalnya. Pelbagai persoalan tentang gadis itu bermain di benaknya.

Sedang dia asyik memerhatikan gadis itu, dia terlihat dua orang penunggang motosikal sedang menghampiri Hazel. Matanya membulat setelah menyedari apa yang cuba dilakukan dua orang lelaki itu.

"Hoi!" Dia meluru keluar.


SETELAH membuat bayaran dan mengambil ubat, Haqq kembali mendekati gadis yang sedang menantinya di ruang menunggu. Dia tersenyum apabila melihat gadis itu melarikan anak mata saat pandangan mereka bertemu.

"Syukurlah awak tak apa-apa. Doktor kata awak okey. Takde apa yang perlu dirisaukan. Kepala awak pun dah tak rasa sakit kan?" Haqq duduk selang satu kerusi daripada Hazel.

Hazel menggeleng dan tersenyum kelat.

"Ini ubat awak." Haqq menyerahkan satu beg plastik yang mengandungi ubat-ubatan kepada Hazel.

"Thanks."

"Sama-sama." Haqq melirik kaki Hazel yang berbalut.

"Kaki awak tu kena jaga elok-elok. Kena banyak berehat. Tak boleh banyak bergerak. Ingat pesan doktor."

"Insya-Allah. Terima kasih." Hazel mengangguk perlahan sambil melihat kakinya yang berbalut.

"Rasanya, awak dah tahu siapa saya yang sebenarnya, kan?" Haqq menoleh semula kepada Hazel.

"Hmm..." Hazel mengangguk tanpa mengangkat kepala.

"Good. Lepas ni, jangan panggil saya dengan gelaran bukan-bukan. Boleh?"

Hazel mengangguk lagi.

"Nah. IC awak, Cik Hazel Ayana." Haqq memulangkan kad pengenalan Hazel yang diambil ketika mereka membuat pendaftaran tadi.

"Or... should I call you, Cik Hazel?" tanya Haqq.

"Just Hazel."

"Okey. Lebih mesra. Awak masih simpan name card saya?"

Hazel terdiam.

"Hmm... saya rasa awak dah buang name card saya." Sekeping lagi kad namanya diserahkan kepada Hazel. Kad nama itu bertukar tangan.

"Nak saya hantar balik?" tanya Haqq.

"Takpe. Kawan saya akan datang."

"Kalau macam tu, saya minta diri. Jaga diri, Cik Amnesia. Get well soon. Jumpa lagi nanti." Haqq sudah bangun. Namun, dia kembali memandang Hazel.

"You owe me." Dia mengenyitkan mata.


"DADDY?" Haqq membuka pintu pejabat Tuan Megat.

"Kamu dari mana? Satu hari daddy tak nampak kamu di pejabat." Tuan Megat membuka cermin mata dan menutup fail.

"Haqq ada meeting dengan klien pagi tadi. On the way balik ofis tadi ada kes ragut. Kebetulan Haqq lalu kawasan tu. Haqq tolonglah apa-apa yang patut. Itu yang lambat sampai ni."

"Emm..." Kepala Tuan Megat terangguk. "Ada apa-apa berita tentang Nuh?"

Haqq tayang muka bersalah. Kepalanya digeleng perlahan.

"Nuh terlalu bijak menyimpan rahsia." Tuan Megat menyandarkan kepalanya di belakang kerusi.

"Daddy perlukan pengaruh Nuh untuk kekal dalam GG?" tanya Haqq. Laju sorotan mata Tuan Megat jatuh kepadanya.

"Macam mana kalau Nuh khianati kita?" soal Haqq lagi.

"Kalau Nuh khianati kita, maknanya daddy gagal dalam memegang amanah."

Dahi Haqq berkerut. Pada waktu itu juga, matanya ternampak sebuah fail di atas meja yang terselit di antara fail lain. Satu nama tertulis di atas fail itu. Menyedari di mana pandangan mata Haqq terhala, laju tangan Tuan Megat menutup fail itu dengan beberapa fail yang lain.

"Kamu boleh sambung kerja kamu. Kalau ada apa-apa berita, tolong maklumkan pada daddy secepat mungkin." Tuan Megat memberi isyarat tangan agar Haqq keluar dari biliknya.

Haqq kerut dahi sambil melangkah keluar. Memang ada sesuatu yang tak kena!

You are reading the story above: TeenFic.Net