Bab 15

Background color
Font
Font size
Line height

Kedatangan Mak Mah dengan Tok Brahim di rumah Sharimin disambut gembira. Kebetulan Mak Cik Kiah berkumpul anak-beranak di rumah aje.

Tok Brahim dengan tertib dan penuh hormat menceritakan hasrat dan tujuan kedatangan mereka. Walaupun terkejut, namun Mak Cik Kiah setuju sangat.

Along dan Sharimin tak tahu nak cakap apa. Tidak ada ribut, tidak ada angin, tiba-tiba Hazim ingin beristerikan Oshin. Macam tak masuk akal.

"Saya tak kesah Tok Brahim, Kak Mah. Ikutkan saya, saya memang setuju sangat Oshin jadi menantu Kak Mah. Cuma berilah masa kami berbincang anak-beranak dulu. Budak bertuah ini pun tak ada kat sini. Dia ke Dengkil pagi tadi. Kalau urusannya selesai, malam ni dia balik. Kalau tak, esok lusa baru dia balik sini."

"Eh, tak apa. Tak apa. Kiah bincang anak-beranak dulu. Cumanya, kalau boleh. Ini kalau bolehlah, jika setuju kami nak ikatkan budak berdua ni sebelum Oshin terbang ke Jerman," pinta Tok Brahim.

"Ya. Ya. Faham. Itulah tu. Beberapa hari aje lagi sebelum Shin tu terbang. Kami bincang dulu. Setakat tunang tu tak ada masalah. Cumanya, Si Hazim tu boleh ke tunggu Shin habis belajar? Tiga empat tahun lagi ni? Bukan apa, saya pernah soal Oshin hal ini. Dia kata berilah peluang untuk dia habiskan belajar dulu, lepas tu baru fikir pasal kahwin," kongsi Mak Cik Kiah.

"Hazim pun ada cakap dia tidak kesah. Boleh tunggu sampai Oshin habis belajar. Janganlah Kiah bimbang, kami faham cita-cita Oshin tu." Mak Mah meyakinkan Mak Cik Kiah.

"Pak cik, mak cik, biarlah kami bincang dulu dengan yang empunya badan. Macam mak cakap tadi dia kat Selangor. Ada urusan. Bagi kami masa dua tiga hari, nanti kami berikan kata putus boleh tak?" pinta along selaku ketua keluarga.

"Boleh, tidak ada masalah pun, long. Kami faham." Senang Tok Brahim menerima.

"Hazim mana?" soal Sharimin tak puas hati dengan Hazim.

"Lepas hantar kami tadi dia ke area Bukit Beruang sana. Nak servis kereta pak cik. Esok pagi dia balik semula ke Terendak. Kerja macam dia itu mana ada masa lapang yang panjang. Sekejap-sekejap aje."

"Sebenarnya, Hazim tu tentera pangkat apa, Tok Brahim?" cungkil Mak Cik Kiah. Nak juga tahu pekerjaan calon menantunya ni. Semua orang jadi tentera, tapi posisi dalam tentera tu banyak.

"Hazim tu kan pelajar tajaan ATM. Lepas habis housemanship dua tahun, dia terus masuk kat 10 Briged Parachute kat Terendak. Ni sekarang, baru dua tiga bulan dapat beret maroon. Pengiktirafan kepada Doktor Para yang terlatih dan lasak macam anggota skuad elit yang lain."

"Doktor Para?" celah Sharimin.

Selama ni dia tak ambil tahu pun tentang tugas Hazim dan Adam. Dia hanya tahu mereka tu, doktor tentera aje. Difikirkan doktor tentera ni, tugasnya hanya merangkumi tugasan di hospital saja. Taklah terfikir sampai sejauh ini.

"Doktor Para ni maksudnya doktor yang terlatih dengan kemahiran skil penerjunan dan ketenteraan sama macam anggota elit yang lain. Sama-sama turun operasi."

Sharimin memandang pada along yang sudah terkebil-kebil menghadamkan penjelasan Tok Brahim. Sesuatu yang baru buat mereka.

"Doktor penerjun?"

"Haah, along. Hazim bertugas di 10 Briged unit rejimen di mana dia menyertai pasukan atur gerak cepat," jelas Tok Brahim dengan bangga.

"Pasukan atur gerak cepat tu buat apa, pak cik?"

"Mereka inilah pasukan pertama yang dihantar ke kawasan konflik bertujuan untuk memastikan kawasan tu bebas daripada musuh dalam masa tujuh puluh dua jam."

"Fuyo... Along, aku sendiri pun tak tahu kawan aku tu anggota elit hebat. Aku ingatkan dia tu doktor biasa-biasa aje. Tapi apa-apa pun, aku nak jumpa Hazim ni dulu. Aku gerak dululah. Nak cari malaun yang nak kahwin dengan adik kita ni."

Sharimin cuba menutup riak wajahnya yang tegang campur marah. Egonya tercabar dengan sikap Hazim. Boleh aje Hazim bersemuka dengannya dulu, sebelum hantar bom macam ni.

Along dapat membaca riak wajah Sharimin yang tegang. Antara mereka berdua, Sharimin yang lebih rapat dengan Oshin. Semua kawan Oshin, ditapisnya. Yang nampak tak betul di matanya, terus diberi amaran keras untuk tak dekat dengan Oshin lagi.

"Min."

"Kami sembang aje, long. Jangan risau." Sharimin bangun mencapai telefon bimbit. Lima minit kemudian kedengaran bunyi motor Sharimin meninggalkan rumah.

"Usah mak cik dan pak cik risau. Min itu memang macam itu sejak dah besar panjang ini. Kalau boleh Oshin tu, tak boleh rapat langsung dengan kawan-kawan dia. Hajat Hazim ni memang memeranjatkan kami. Lebih-lebih lagi Min. Itu belum lagi Oshin. Harap mak cik dan pak cik faham," minta along dengan tertib.

"Tanggungjawab abang melindungi adiknya. Pak cik faham."

Tok Brahim tersengih. Sikap Sharimin sebiji macam Hazim juga. Adik perempuannya tidak berpeluang langsung berkenalan dengan kenalan Hazim yang bertandang ke rumah.

You are reading the story above: TeenFic.Net