Bab 14

Background color
Font
Font size
Line height

Oshin bersiap nak ke Dengkil. Semalam, Uncle Ah Chai sendiri yang menghubunginya. Minta dia turun segera. Selesaikan urusan kat sini sebelum terbang.

"Kak Meera, Shin tak dapat nak duduk lama kat sini. Ingat semalam, lepas makan tengah hari baru nak gerak. Bolehlah spend time dengan keluarga. Tapi Uncle Ah Chai tu dah suruh Shin sampai sana pagi. Shin janji, habis aje kerja Shin balik sini," cerita Oshin manja.

Rasa bersalah menggebu dalam hati Oshin. Kasih sayang along dan Sharimin yang sanggup bercuti untuk bersama dengannya sehingga dia terbang, menjentik rasa sebak dalam hatinya. Dia aje yang selalu menolak perhatian abang-abang. Tapi mereka sentiasa ada untuknya.

"Tak apalah. Shin selesaikan dulu kerja tu elok-elok. Semalam akak ada dengar pak ngah cerita dengan Abang Min dan along kamu. Mereka faham. Shin pergilah," pujuk Meera.

"Sign dah surat kuasa pada pak ngah. Apa-apa tentang hal bengkel nanti pak ngah akan uruskan. Shin suruh masukkan aje duit kat akaun Shin. Bolehlah buat duit makan Shin kat Jerman nanti."

"Cukup ke belanja kamu kat sana nanti, Shin?" Kak long mencelah. Dia pun sama bimbang macam Mak Cik Kiah.

"Insya-Allah cukup, kak long. Tak apa, kalau tak cukup nanti Shin mintalah. Tak payah bimbang."

"Kak long ni macam mak juga. Risaukan kamu. Mana pernah kamu ke luar negara tu lama-lama? Paling lama kamu pergi bercuti pun dua minggu. Itu pun berteman. Sudahlah along dan Abang Min nak hantar sampai sana kamu tak beri," bebel kak long sebiji macam Mak Cik Kiah.

Oshin sengih. Payah jadi adik bongsu ni. Manja payah. Mandiri pun payah.

"Bebelkan dia, kak long. Mak dah berbuih dah mulut ni. Bukannya dia nak dengar. Apalah kurangnya belajar kat sini aje? Ini tak, sampai ke Jerman sana dia pergi."

Mak Cik Kiah tarik bangku dan labuhkan duduk. Menyertai mereka bertiga di meja makan. Sedari dalam bilik tadi lagi telinganya dah dengar menantunya menyekolahkan Oshin. Sejuk hatinya melihat keakraban mereka.

"Adoiii. Ini yang tak best ni. Macam mana Shin nak menang kalau semua dah berpakat? Macam inilah. Shin janji, setiap kali raya puasa Shin balik. Itu pun kalau tak kena dengan musim examlah, ya. Tak pun, kalau mak, kak long atau Kak Meera rindukan Shin, cakap aje kat bos-bos merangkap abang-abang kesayangan Shin tu belikan tiket. Pergi cuti kat Munich. Datang musim sejuk."

Oshin memberi cadangan sambil membela diri. Memang dia tak fikir sesibuk ini. Tapi ini semua disebabkan kejuaraan bengkelnya di trek lumba Dato Sago baru-baru ni. Secara tak langsung, penggiat motor lumba kenal aktiviti dan kemampuan bengkelnya. Dengar pula, ada mekanik perempuan yang boleh buat magis. Lagi berpusu-pusulah orang datang.

"Tak payah nak lobi-lobi mak. Tiket pergi dah ada, kan? Kamu tu, jaga diri kat tempat orang. Walaupun ada adik Si Donny kat sana, Kamu kena selalu ingat yang kamu tu Islam, Melayu dan orang Malaysia. Ingat asal usul. Solat tu jangan tinggal. Nanti, bila mak tak busy kat warung tu mak ajak along kamu ke sana. Cuti main salji ni best juga kan, kak long? Mak tak pernah main salji," celah Mak Cik Kiah.

Kesian tengok si anak, tapi nak buat macam mana, memang itu tanggungjawabnya. Betul kata pak ngah malam tadi.

"Kiah, aku bangga dengan Shin. Sangat bangga. Ramai tauke Cina nakkan dia tu sebenarnya. Dia ni, kereta continental pun dia tau repair."

"Kereta continental tu kereta apa, bang?"

"Kereta luar negara. Yang mewah-mewah tu. BMW, Lamborghini, Porsche semua tu. Tapi itulah. Dia ada wawasan. Ah Chai tu aje yang dia percaya. Sebab Ah Chai tu kawan baik arwah."

"Ah Chai banyak tolong kami dulu, bang. Banyak tolong Shin. Memang patut pun Shin percayakan Ah Chai."

"Shin tu dah macam anak pada Ah Chai, Kiah. Dialah orang yang paling bangga bila dapat tahu Shin dapat tajaan sambung belajar ke Jerman tu. Kamu tau kenapa?"

Mak Cik Kiah geleng. Oshin ada cerita, tapi dia tak faham sangat. Yang diketahuinya, semua ditaja sepenuhnya selama tiga tahun Oshin di sana.

"Sebab Shin tu cerdas, cekap, pantas dan tekun berbanding mekanik profesional yang lebih tua dan mahir daripadanya. Dan, ketua jurutera syarikat yang taja dia tu sendiri yang nilai. Anak kamu tu ada masa depan yang cerah dalam bidang ni, Kiah."

"Kiah tahu tu, bang. Tapi anak Kiah tu perempuan. Buat pula kerja-kerja lelaki. Dikelilingi lelaki aje. Dia tu pun dah macam lelaki aje lincahnya. Kiah risau."

"Abang yakin dengan Shin. Sejak kecik, malah masa arwah ada lagi dia dah ikut abang. Abang tahu sangat perangai dia. Percayalah. Kita doakan aje dia selamat dan sentiasa berjaya kejar cita-cita dia."

"Mak! Ooo... Mak! Mak... Laaa, berangan sampai ke mana ni, mak? Orang tanya ni, mak nak minum apa ni? Orang nak buatkan," panggil Oshin lembut.

Hilang terus perbualan Mak Cik Kiah dengan abangnya semalam. Dipandang wajah tenang Oshin.

"Air kopi O ajelah. Kurang gula."

"Mak kenapa pula ni?"

"Mak tak ada apa pun. Cuma mak terfikirlah juga, Shin, kamu ni tak ada ke boyfriend?" soal Mak Cik Kiah secara tiba-tiba.

Oshin terdiam. Ditoleh pandang pada Mak Cik Kiah kemudian pada kakak-kakak iparnya yang duduk semeja.

Amboi, Mak Cik Kiah ini. Jangan buat hal, mak. Aku ni baru nak berkepak jauh sikit. Sekolah pun tak habis lagi. Tidak terlintas pun dalam hati untuk melayan hati jiwang karat boyfriend bagai ni, bebel hati Oshin.

"Haah, Shin. Akak pun tertanya-tanya juga. Shin yang comel ni takkan tak ramai yang minat? Awak tu kerja dikelilingi lelaki. Akak tengok, kawan-kawan yang datang dengan kamu tu handsome belaka."

Oshin sengih lebar mendengar pujian Meera. Kawan-kawan bengkel dia memang semuanya sedap mata memandang. Tapi tak sorang pun boleh lawan crush yang disorok dalam hatinya ni. Nak pula dengan penampilan terbaru ni. Oh! Cair.

"Sebelum mak tanya orang soalan tu, mak kena tahu ya, anak-anak jantan mak tu garang. Kalau jumpa aje kawan orang, mesti kena interviu. Belum apa-apa pun lagi, dia orang dah angkat bendera putih. Tak sanggup."

Mak Cik Kiah senyum. Faham sangat sikap tegas along dan Sharimin tu. Tapi setegas-tegas mereka pun, tak sekeras hati Oshin ni. Keras macam konkrit.

"Shin, ada kawan tak?" soal kak long.

"Ramai, kak long."

"Takkan tak ada kawan lelaki yang spesial? Ala, apa yang orang muda panggil tu, spesial boyfriend tu," celah Mak Cik Kiah.

Wajah teruja Mak Cik Kiah buatkan Oshin gelabah sendiri. Saja diperlahankan gerak-gerinya tanpa menjawab pertanyaan Mak Cik Kiah. Siap aje bancuh air, dibawa ke meja. Kerusi sebelah Mak Cik Kiah ditarik. Piring kosong diambil sebelum menarik mangkuk mihun mendekat. Dicedok ke atas piring. Ditambah telur goreng mata kerbau yang bergoyang kuningnya di atas mihun. Perfect!

"Ada. Nama dia Keanu Reeves."

"Orang putih? Shin, kita ni Melayu. Islam pula tu. Carilah yang sepadan dengan kita," nasihat Mak Cik Kiah.

Inilah salah satu sebab dia bimbang lepaskan Oshin ke Jerman. Tersangkut dengan lelaki Jerman rambut perang sebagai calon suami, tak cukup tanah dia hambat nanti.

Oshin kemam bibir. Hati terus rasa lega. Dilajukan suapan mihun goreng. Cepat habis. Cepat dia boleh keluar dari situ.

"Orang pun fikir macam tu, mak. Tu yang bila dia ajak orang kahwin, orang tolak. Tak ada jodoh. Tapi tak apa, mak. Orang dah ada pengganti."

"Orang mana pula kali ni?"

"Superman!"

Terus pinggangnya dikutil Mak Cik Kiah. Oshin kemam bibir. Tahan gelak. Giler nak gelakkan Mak Cik Kiah ni. Ada yang kena libas dengan penyapu kontot kang.

"Kau ingat mak ni kampung sangat ke, Shin? Mak pun tengok Doktor Strangers tu. Kenal siapa Keanu Reeves tu. Ni, kamu dengar supermum nak cakap ni," bebel Mak Cik Kiah.

Meledak juga tawa Oshin. Lengannya dikutil bertalu oleh Mak Cik Kiah tanpa dapat melarikan diri.

"Mak suka anak Tok Brahim tu," ucap Mak Cik Kiah yang mencungap gelakkan Oshin.

Oshin yang masih bersisa tawa terus tersedak. Cepat-cepat diteguk teh panas yang sudah dituang ke dalam muk tadi.

"Kamu tu kenapa, Shin?" soal Mak Cik Kiah. Pelik-pelik perangai Oshin ni sekarang.

Oshin telan liur. Nak luruh jantung dibuatnya. Mustahil dia boleh terima crush sebagai calon bapa tiri. Tidak! Tak mungkin.

"Mak, betul ke apa yang mak cakap tadi? Mak nak kahwin dengan anak Tok Brahim?" soal Oshin cuak.

Pap! Kepala Oshin disekeh oleh Sharimin yang dah berdiri di belakangnya. Menjeling geram terus Oshin. Digosok kepala yang sakit.

"Cakap tu biar waras sikit, Shin," tegur Sharimin.

"Bukan maklah. Tapi kamu tu. Mak nak kahwin buat apa? Rumah kata pergi. Kubur dah panggil. Kiah, mari, mari... Mari..."

"Ooo... Lega. Ingatkan mak yang nak kahwin. Mahu kita dapat abah tiri sebaya Abang Min. Kan, bang?"

Sempat Oshin menyenggol lengan Sharimin yang duduk di sebelahnya. Menjeling tajam Sharimin. Tak suka!

"Kamu suka tak?" soal Mak Cik Kiah.

"Suka apa, mak?"

"Si Hazim anak Tok Brahim tu. Berkenan tak?"

Oshin cuit lengan Sharimin di sebelahnya. Saja nak panaskan hati si abang, pagi-pagi buta ni. Lepas ni bila lagi dapat menyakat si abang.

"Tu mak tanya tu. Abang Min tolong jawab."

"Min..."

"Cup, cup. Tapi, sebelum apa-apa. Orang nak minta tolong banyak-banyak. Tolonglah. Nak apa-apa pun, biarlah orang habis belajar dulu ya, mak? Simpan aje dulu calon-calon mak tu. Bila orang dah bersedia nak kahwin nanti, orang bagi tahu. Itu pun kalau Abang Min izinkan. Betul tak, Abang Min?" pintas Oshin.

"Eh! Eh! Kenapa nak dapatkan izin Abang Min kamu? Mak yang berkenan. Along kamu mesti sokong mak. Budaknya baik. Sopan santun. Kerja pun elok. Kerja gomen lagi. Keluarganya pun mak kenal. Kan, Min?" bebel Mak Cik Kiah.

Oshin dah angkat buntut. Bersalaman dengan kak long dan Meera. Kumat-kamit mulut Sharimin tu dah bagi signal untuk segeralah cabut.

"Mak sendiri dengar, kan? Shin cakap, biarlah dia habis belajar dulu. Ini, berangkat ke Jerman pun belum lagi. Mak dah rancang macam-macam," jawab Sharimin. Sempat matanya menjeling tajam pada Oshin. Nanti kau!

"Kan, bang. Hmmm... Orang gerak dululah. Orang janji dengan Uncle Ah Chai jumpa kat bengkel jam sepuluh setengah pagi."

Alasan yang paling mudah untuk melarikan diri. Dah. Dah. Tak boleh biarkan soal jodoh ni berlanjutan. Matlamat asal perlu dicapai dulu.

You are reading the story above: TeenFic.Net