Siti & Polis Comel - Prolog 1

Background color
Font
Font size
Line height

"BUDAK tu peliklah. Jangan kawan dengan

dia."

"Budak pelik... hahahaha..."

"Anak orang gila... cakap sorang-sorang."

Siti memandang mereka yang mengejeknya

dengan muka pelik. Tangan sebelah kiri masih memegang

patung Smurfnya. Dan sebelah tangan lagi memegang

tangan Kak Ana. Siti memang tak faham sebenarnya,

kenapa orang panggil dia pelik? Kanak-kanak lain tuduh

dia cakap sorang-sorang. Mereka semua tak nampak ke

dia sedang berborak dengan Kak Ana?

"Siti tak cakap sorang-soranglah... Siti cakap

dengan Kak Ana!" tempik Siti.

"Jangan cakap dengan budak pelik ni. Nanti kita

berjangkit penyakit dia pulak."

Kanak-kanak lelaki bertiga tadi meninggalkan

Siti. Siti yang sudah biasa dengan keadaan ini hanya

memandang kanak-kanak bertiga itu berlari ke arah

asrama. Dia pandang Kak Ana.

Siti tahu, tak ada sesiapa pun yang sudi berkawan

dengannya. Biarlah dia seorang daripada asyik kena ejek.

Dia ada Taro sebagai teman bermain. Siti melabuhkan

punggung di tepi akar pokok dengan ditemani Kak Ana.

"Kak Ana... kenapa diaorang semua cakap Siti ni

pelik? Kan Siti tengah cakap dengan Kak Ana ni. Takkan

diaorang tak nampak Kak Ana?"

"Diaorang tak ada keistimewaan macam Siti."

"Apa tu kak?" tanya Siti. Dia tak faham apa-apa

pun.

"Bila besar nanti, Siti akan faham." Kak Ana

senyum.

Kak Ana memang cantik. Siti rasa seronok kawan

dengan Kak Ana. Rambut Kak Ana panjang dan lurus.

Tapi di sudut sebelah lagi Siti tak perasan muka Kak Ana

sudah hancur. Pipi mulus Kak Ana sebenarnya daging

merah yang masih lagi basah dengan darah. Tulang

tengkorak Kak Ana juga timbul. Mata Kak Ana hampir

tersembur keluar.

"Siti... ibu suruh balik. Dah senja ni." Parjo

datang mengganggu sesi Siti berborak-borak dengan

Kak Ana.

"Joe... Siti nak borak-borak dengan Kak Ana,"

ujar Siti lurus.

Parjo memandang sekeliling. Dia tarik nafas.

Siti ni suka sangat cakap sorang-sorang. Bulu roma di

lengannya sudah tegak berdiri. Diakui, dia langsung tak

nampak Kak Ana yang Siti maksudkan.

"Cakaplah kat Kak Ana tu... ibu garang. Nanti

ibu rotan Siti. Takkan Kak Ana tak kesian dekat Siti."

Parjo telan air liur. Dia cuba beranikan diri. Kalau bukan

kerana arahan ibu, dia pun tak berani dekat dengan Siti.

"Okey... kejap. Siti nak cakap sikit dengan Kak

Ana," jawab Siti dengan senyuman. Dia bercakap-cakap

sebentar dengan Kak Ana.

Parjo senyum kelat. Kalau ikutkan, dia mahu

cabut dari situ. Tapi arahan ibu jelas. Panggil Siti. Lagipun

dia hanya acah-acah berani bercakap dengan Siti.

"Babai..." Siti lambai Kak Ana. Siti mendapatkan

Parjo yang sedang berdiri. Mereka berdua berjalan

menuju ke bangunan asrama. Sempat lagi Siti menoleh

dan melambai ke arah Kak Ana sekali lagi.

You are reading the story above: TeenFic.Net