RYZAL menguak pintu bilik Idham setelah
mengetuk beberapa kali. Tanpa sempat dipelawa, dia terus
melangkah masuk. Langkah diatur mendekati meja Idham.
Lelaki itu nampak begitu khusyuk membaca dokumen
yang ada di atas meja. Itulah kerja harian Idham, mengadap
dokumen yang bertimbun selain daripada menghadiri
mesyuarat ke sana sini atau keluar berjumpa klien.
Punggung segera dilabuh ke atas kerusi walaupun
tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu.
"Am, kalau ya pun frust tak jadi kahwin, janganlah
nak menyeksa diri pula." Ryzal bersuara membuatkan Idham
segera mengangkat kepalanya. Wajah Ryzal yang tersengih
itu menjadi tatapan mata Idham.
"Apa maksud kau ni?" Dahi Idham berkerut-kerut.
"Aik, takkanlah tak faham maksud aku kut." Ryzal
tetap pamer sengih sambil menyandar selesa di kerusi yang
berhadapan dengan Idham.
Tiba-tiba Idham tergelak kecil. Dia sudah faham
maksud kata-kata Ryzal. Ryzal ni memang sepupu yang
merangkap sahabat baiknya. Ryzal selalu mengambil berat
tentang kebajikan dirinya dan kepada Ryzal juga dia sering
meluahkan rasa hatinya terutama rasa tidak puas hatinya
tentang hubungan dia dengan tunangnya, Atikah.
"Aku dah lama nak nasihatkan kau pasal hubungan
kau dengan Atikah tapi kau buat tak tahu saja. Sekarang,
aku lega sebab kau dah buat keputusan yang tepat dengan
memutuskan pertunangan kau dengan dia." Ryzal nampak
tenang menunggu reaksi dari Idham.
"Sebenarnya aku tak kecewa langsung sebab aku
tak jadi kahwin dengan Atikah. Kau sendiri pun tahu kenapa
aku terima dia dulu." Kali ini Idham turut menyandarkan
badannya di kerusi sepertimana yang dilakukan oleh Ryzal
tadi.
Dua hari lepas, secara rasminya dia telah
memutuskan ikatan pertunangannya dengan Atikah yang
terjalin sejak setahun yang lalu.
"Selama ini aku dah banyak beralah sebab kalau aku
bertegas, dia akan buat hal tapi kalau dah sampai tiga kali
dia nak menundakan perkahwinan kami, takkanlah aku nak
ikut begitu saja. Di mana maruah aku sebagai lelaki kalau
hanya asyik ikut telunjuk dan kehendak dia sahaja? Aku pun
ada ego juga. Lagipun pertunangan itu bukan atas kerelaan
dan kehendak aku." Idham menarik nafas seketika.
"Ya, memang semua orang ada ego masing-masing
tapi tahap yang berbeza. Kalau aku di tempat kau pun, aku
buat keputusan yang sama. Biar dia tahu bahawa kau bukan
terlalu mengharap dia. Masih ramai lagi perempuan yang
boleh kau pilih untuk hidup bersama kau. Malah, aku rasa
perempuan di luar sana tu lebih baik dari Atikah. Memang
patutlah mak ngah tak sukakan dia sejak awal lagi." Ryzal
sangat menyokong keputusan yang dibuat oleh Idham.
Idham menyandar kepala di kerusi sambil memejam
matanya rapat. Sejak tadi dia cuba sedaya upaya melupakan
hal itu dengan menyibukkan diri menguruskan hal pejabat.
Atikah pula terus menyepi tanpa menghubunginya. Kalau
ikut rancangan, Atikah akan bertolak ke Singapura kerana
dia ada pertunjukan fesyen di sana. Mungkin sekarang ini
dia sudah berada di sana. Lantaklah! Malas Idham nak ambil
tahu.
"Habis, apa perancangan kau sekarang? Mak ngah
ada beritahu aku yang kau masih nak teruskan perkahwinan
kau bulan depan. Betul ke?"
Hubungan Ryzal dengan Datin Suhani memang
rapat. Jadi segala info dan maklumat dia akan tahu. Begitu
juga dengan Datin Suhani, dia yang akan dihubungi sekiranya
dia mahu tahu pasal anaknya, Idham. Kiranya dia jadi orang
tengah antara mereka dua beranak.
"Ya, itu yang aku cakapkan pada Atikah." Idham
terus mengaku tanpa berselindung.
Ryzal menatap wajah Idham. Kasihan pula
mengenangkan nasib Idham. Lelaki segak dan bergaya
macam Idham sepatutnya dah lama kahwin dan hidup
bahagia. Bukan dirundung malang begini.
Sebelum ini, Idham sanggup menolak rancangan
Datin Suhani untuk menjodohkannya dengan Emillia.
Emillia gadis pilihan Datin Suhani sejak dari dulu lagi yang
merupakan anak kenalannya tapi Idham sudah menolak awalawal
kerana dia mahu memilih sendiri calon isterinya.
"Jadi, kau dah ada calonnya?" Ryzal mengaju soalan
membuatkan Idham membetulkan kedudukannya agar lebih
selesa.
"Calon?" Idham terpinga-pinga.
"Ya, calon untuk pengantin. Kau kan nak teruskan
majlis perkahwinan kau. Kalau macam tu, mesti kena ada
calonnya. Takkanlah kau nak bersanding sorang-sorang pula.
Tak ke lawak jadinya." Ryzal tergelak kecil membuatkan
Idham berdeham beberapa kali.
"Aku... aku tak ada calon. Aku cakap macam tu sebab
aku nak Atikah sakit hati." Idham mengeluh berat.
"Kalau macam tu, kau terima ajelah calon menantu
mak ngah tu, si Emillia. Aku dapat tahu sampai sekarang
perempuan tu tak kahwin lagi. Itu sebabnya mak ngah
bangkitkan balik isu tu. Nak aku pujuk kau terima Emillia
jadi calon isteri kau?" Ryzal menyatakan tujuan sebenar dia
bertemu Idham.
"Tak. Aku takkan terima perempuan tu jadi calon
pengantin sebab dia bukan taste aku." Idham tetap menolak
calon pilihan mummynya itu.
"Kalau macam tu, kau nak perempuan yang macam
mana? Macam Atikah juga? Seorang artis merangkap
selebriti? Perempuan yang dedah tubuhnya sana sini untuk
tatapan semua orang? Perempuan yang rela dirinya dipeluk
oleh mana-mana lelaki? Macam tu?" tempelak Ryzal keras
membuatkan bibir Idham terus terkunci. Maklumlah,
isteri Ryzal iaitu Baizura adalah seorang perempuan yang
bertudung dan bersopan santun. Memang berbeza dengan
karakter dan personaliti Atikah.
"Kau ni kan, sama macam mummy. Suka membebel.
Macam mak nenek!" Hanya itu yang mampu Idham suarakan
demi menutup rasa segannya atas pilihan yang telah
dibuatnya sebelum ini.
"Nak pilih isteri ni mestilah kena betul-betul teliti.
Tak boleh main cekup dan tangkap muat saja. Kita ni kalau
boleh nak kahwin sekali seumur hidup dan perkahwinan
tu biarlah kekal sepanjang hayat. Itu pendapat akulah. Tak
tahulah pula kalau kau nak kahwin lebih dari satu. Nak
kahwin sampai empat pun tak apa. Lagipun, aku rasa kau
lebih dari mampu." Ryzal menayang senyum.
Idham tarik muka masam. "Kau ni, dalam memberi
sokongan, sempat juga mengutuk aku!" Idham pamer muka
bengang.
"Okeylah. Aku memang serius nak bagi sokongan
dan semangat untuk kau. Janganlah sebab kau putus tunang
dan kecewa dengan sikap Atikah, kau membenci semua
perempuan. Tak semua perempuan seperti Atikah yang lebih
mementingkan diri dan kerjayanya dari kau." Sambung Ryzal
lagi.
"Aku sebenarnya tak pernah kisah pun apa yang
dibuat oleh Atikah sebab hakikatnya aku memang tak teringin
nak jadikan dia isteri aku sebenarnya."
"Macam tu pula jadinya. Habis tu, yang kau setuju
bertunang dan nak kahwin dengan dia tu, apa kes? Kau ni
serius ke tidak masa kau terima Atikah dulu? Bukan kau
kata kau pilih dia sebab jodoh?" Ryzal jadi pening tiba-tiba.
Dia pun hairan kenapa Idham boleh menerima Atikah dulu.
Tup-tup dia dapat khabar yang sepupunya ini nak bertunang.
Lepas tu tak jadi kahwin berkali-kali. Sekarang ni dah putus
tunang pula.
"Aku terpaksa terima dia. Bukan atas kerelaan aku.
Kau faham tak?" bentak Idham. Tiba-tiba dia jadi bengang
bila diungkitkan soal itu. Hakikatnya semua orang tak pernah
tahu kenapa dia memilih Atikah sebagai tunangnya dulu.
Biarlah ia menjadi rahsia sehingga satu masa nanti semuanya
akan terbongkar.
"Lantak kaulah. Tapi sekurang-kurangnya aku
gembira sebab Atikah bukan pilihan kau." Ryzal menarik
nafas lega.
"Aku percaya, satu hari nanti kau pasti akan
menemui seseorang yang mampu buatkan hidup kau bahagia
dan ceria sepertimana kemunculan Baizura dalam hidup
aku." Ryzal bersuara lagi sebelum meminta diri untuk keluar
dari bilik Idham.
NURUL MELETAKKAN cawan berisi Cappucino bersama
pencuci mulut di hadapan pelanggannya. Nampaknya
pelanggan itu begitu khusyuk melayan gadget di tangan
tanpa mempedulikan kewujudannya ketika itu.
"Silakan, encik." Pelawa Nurul sebelum berlalu.
"Wait."
Suara yang keluar dari mulut pelanggannya
itu membuatkan Nurul tak jadi melangkah. Dia segera
menoleh ke belakang dan wajahnya agak terkejut. Mereka
berpandangan buat seketika.
'Eh, bukankah lelaki ini yang aku tengok dekat
tasik ke?' gumam Nurul sambil memerhati wajah lelaki di
hadapannya.
Idham juga agak terkesima melihat wajah Nurul.
Seketika dia hilang kata.
"Ya, ada apa encik?" Nurul memulakan bicara dengan
perasaan debar.
Idham menelan liur sebelum membetulkan
kedudukannya. Gadget yang dipegangnya tadi diletak atas
meja. "Boleh awak duduk sekejap?" pinta Idham membuatkan
mulut Nurul ternganga.
"Hah, duduk?" Nurul ulang balik permintaan lelaki
itu.
"Ya. Ada perkara yang saya nak cakap dengan awak."
Permintaan lelaki itu membuatkan Nurul makin
resah. Pelbagai soalan muncul dalam benak fikirannya.
"Encik nak cakap pasal apa? Saya tengah kerja
ni. Kalau bos saya tahu, saya kena marah nanti." Nurul
melahirkan rasa resahnya. Memang betul, mereka yang
bekerja di situ tidak dibenarkan duduk bersama pelanggan
kerana itu akan mengganggu pelanggan tapi kalau itu yang
pelanggan minta, nak buat macam mana? Nurul mula garu
kepala di sebalik tudung yang dipakainya.
"Duduklah. Kalau bos awak marah awak nanti, awak
beritahu saya." Idham pamer wajah serius.
"Tapi..." Nurul tetap rasa serba salah.
"Duduk." Suara Idham mula tegas.
"Ya, tapi sekejap saja tau." Nurul masih serba salah.
Matanya tetap melilau melihat keadaan sekitar kafe. Sherry
yang sedang menatang dulang untuk pelanggan sempat
menaikkan keningnya memberi isyarat. Nurul membalas
dengan mengangkat bahunya.
"Saya ulang sekali lagi. Duduk!" Kali ini Idham
memberi arahan lebih tegas. Maklumlah, dia kan bos. Selalu
memberi arahan kepada pekerja dan hatinya sedikit bengang
bila arahannya tidak diendahkan.
Akhirnya Nurul akur dan menarik kerusi.
Punggungnya dilabuh berhadapan dengan Idham. Mengikut
arahan dengan penuh debaran.
"Sekarang saya dah duduk. Encik nak cakap pasal
apa ni?" Nurul bersuara sambil menatap wajah lelaki di
hadapannya. Memang kacak orangnya. Amat sesuai menjadi
tunangan Cik Atikah, model yang terkenal tu.
"Hmm... dah puas tenung muka saya?"
Terpinga-pinga Nurul jadinya apabila disergah
Idham dengan wajah yang seperti tadi. Wajah serius. Cepatcepat
Nurul tundukkan kepala menyembunyikan wajahnya
yang mula terasa hangat.
'Haih, tak pasal-pasal kena sound. Buat malu saja
kau ni, Nurul.'
"Cik Nurul." Idham bersuara lagi.
Nurul mengangkat mukanya. Berkerut dahinya
memandang semula wajah kacak Idham.
"Macam mana encik tahu nama saya?' Nurul terkedu.
Tiba-tiba Idham tergelak kecil. "Itu. Name tag kat
dada sebelah kiri awak tu...memang nama awak, kan? Atau
awak pakai nama orang lain?" Mata Idham menyorot ke dada
Nurul.
Mata Nurul turut memandang ke arah itu. Sekali
lagi dia termalu. Apa lagi mengenangkan mata Idham tepat
memandang ke arah dadanya.
'Ya Allah, macam mana aku boleh terlupa?' Tanpa
sengaja, Nurul menepuk dahinya membuatkan Idham
tergelak kecil sekali lagi dengan reaksi itu.
"Saya Idham." Idham memperkenalkan dirinya.
"Hah?" Mulut Nurul melopong bulat.
"Nama saya Muhammad Idham Hafizi. Nama awak
Nurul, kan?" Idham memperkenalkan dirinya
"Ya," akui Nurul perlahan.
"Takkan nama awak Nurul aje?" Idham menatap
wajah gadis di hadapannya. Nampak gelabah saja. Lucu pula
pada pengamatan Idham tapi wajah itu nampak comel.
"Nurul Iman." Beritahu Nurul perlahan.
Idham mengangguk kepala. Wajah dan penampilan
Nurul diteliti. Nafas ditarik panjang sebelum dia menyatakan
tujuannya. "Saya nak tawarkan awak kerja part-time, awak
nak?" Idham terus menyatakan tujuannya meminta Nurul
duduk di situ.
"Kerja part-time? Hmm... macam mana encik tahu
saya nak kerja part-time?" Nurul jadi kalut. Tadi, dia cuma
cakap dekat Sherry. Macam mana lelaki di hadapannya boleh
tahu? Malah siap tawarkan kerja itu untuknya.
"Saya terdengar perbualan awak dengan kawan awak
tadi. Maaf, saya bukan sengaja nak curi dengar tapi terdengar
masa saya nak pergi bilik air tadi." Jelas Idham agar gadis itu
tidak salah sangka.
Nurul mengangguk kepala. Patutlah lelaki ini tahu.
"Kenapa awak nak kerja part-time? Gaji yang
ditawarkan kat sini tak cukup?" Idham cuba selidik.
"Cukup, tapi saya ada masalah lain. Sebab tu saya
perlukan duit." Wajah Nurul mula muram.
"Okey. Kalau awak nak, saya boleh bagi awak kerja."
Idham menatap wajah Nurul. Dia yakin bahawa gadis ini
sedang menghadapi masalah kewangan. Entah kenapa,
terdetik hatinya untuk menolong gadis ini tanpa berfikir
panjang. Itu pun dia terfikir secara tiba-tiba sebentar tadi.
"Encik nak bagi saya kerja apa?" Nurul memberanikan
diri memandang wajah Idham.
"Macam ni, orang yang selalu datang cuci penthouse
saya dah berhenti. Jadi, saya nak tawarkan awak kerja tu
kalau awak berminat. Awak boleh datang hari minggu untuk
bersihkan penthouse tu. Mungkin ambil masa dua hingga
tiga jam. Kerjanya tak penat, cuma awak hanya perlu cuci
pakaian dan bersihkan bahagian yang berhabuk sahaja."
"Hari minggu saya akan balik rumah orang tua saya.
Jadi, awak tak perlu risau kita akan berdua di situ. Awak
akan terus dibayar upah setiap kali awak datang mencuci."
Beritahu Idham membuatkan Nurul termenung seketika.
"Macam mana, setuju?" Idham menanti jawapan.
"Tawaran tu memang menarik tapi saya tak boleh
terima." Nurul segera memberi keputusan dengan nada
lemah.
"Awak tak boleh terima? Kenapa?" Idham terkejut.
Sangkanya gadis itu akan menerima tawaran itu. Bukan
senang nak dapatkan orang untuk datang mencuci
penthousenya dalam masa terdekat ni.
Dia sendiri pun tak sangka Mak Cik Mimah yang
ditugaskan untuk mencuci penthousenya terpaksa berhenti
dan balik kampung sebab suaminya meninggal dunia akibat
kemalangan tiga minggu yang lepas. Jadi selama itu juga dia
terpaksa uruskan sendiri.
"Saya cuti hari Selasa. Hari minggu saya kerja."
Nurul menyatakan jadual kerjanya.
"Oh." Idham tarik nafas. Wajah muram Nurul
kembali menjadi tatapan Idham. Entah kenapa wajah itu
membuatkan hatinya rasa simpati.
"Kalau macam tu, awak datang hari Selasa, boleh?"
Idham memberi jawapan mudah membuatkan Nurul pula
yang terpegun. Wajah lelaki itu menjadi tatapan Nurul pula.
Sekali lagi, mereka saling berbalas pandang. Nurul cepatcepat
melarikan pandangan matanya. Segan pula nak terus
berbalas pandang. Ada debaran tiba-tiba melanda hatinya.
'Ingat Nurul, lelaki ni tunangan orang.' Nurul
cuba mengingatkan dirinya agar tidak terus hanyut dengan
mainan perasaan.
"Boleh. Nanti saya datang hari Selasa." Nurul mula
memberi persetujuan membuatkan bibir Idham mengorak
senyum.
"Awak ada kertas?"
Nurul segera mengoyak kertas yang sentiasa menjadi
teman untuk dia mencatat order pelanggan. Idham segera
mencapai kertas itu dan menulis sesuatu lalu diserahkan
kepada Nurul.
"Ini alamat tempat tinggal saya, juga nombor telefon
untuk awak hubungi kalau ada apa-apa masalah. Nanti saya
akan maklumkan pada pengawal di pondok supaya benarkan
awak masuk."
Nurul merenung seketika alamat dan nombor
telefon yang tercatat di situ.
"Terima kasih Encik Idham kerana memberi peluang
kepada saya untuk bekerja dengan encik." Ucap Nurul sambil
menghadiahkan senyuman manis sehingga terserlah lesung
pipit di kedua-dua belah pipinya membuatkan mata Idham
terpegun buat beberapa ketika.
"Saya pergi dulu." Nurul terus berlalu pergi tanpa
menghiraukan renungan Idham yang masih belum berkalih.
Dan bagi Idham pula, lesung pipit itu membuatkan
dia terkenang-kenang sampai ke malam. Tanpa sedar bibirnya
mengukir senyum. Ternyata, gadis itu hanyalah gadis biasa
tapi mampu membuatkan hatinya rasa berbunga-bunga.