Bab 2

Background color
Font
Font size
Line height

Nombor telefon kampung didail. Mak Cik Kiah waktu petang-petang macam ni, memang lepak kat rumah aje. Itu pun kalau tiada jemputan kenduri di mana-mana. Selepas sepuluh deringan, barulah panggilan berangkat.

"Assalamualaikum mak, buat apa?"

"Waalaikumussalam. Buat bodoh."

Oshin terus gelak. Dah tahu mesti kena sedas dengan Mak Cik Kiah. Disebabkan dia lewat balik kampung. Puncanya satu aje, degil nak uruskan semua urusan ke Jerman sendiri.

"Tapi tak pun, kan? Sebab mak orang ni sentiasa pandai. Ni orang nak cakap. Semua urusan orang dengan penaja tu dah selesai. Tiket pun orang dah ambil. Tunggu masa nak terbang aje."

"Alhamdulillah. Balik sini bila? Ke kamu tunggu Kak Murni kamu balik sekali?" Sebak hati Mak Cik Kiah. Anak-anak pandai uruskan diri sendiri, tak mengharapkan mak bapak. Mak Cik Kiah sampai tak tahu apa-apa, melainkan tahu semuanya dah siap aje.

"Taklah. Kalau orang tunggu Kak Murni, mahu hari langsung baru orang sampai. Tak sempat tengok Abang Min nikah semua tu."

"Habis tu? Shin balik bila?"

"Esok, naik bas. Malas nak drive. Orang turun kat Melaka Sentral. Abang suruh orang kemas rumah dia kat Bukit Katil tu dulu, sebelum balik Kuala," cerita Oshin. Malang betul jadi adik bongsu perempuan ni. Semua urusan mengemas jatuh atas bahunya.

"Haah. Elok sangat tu. Shin kemas rumah abang tu. Nanti nak bertanggak senang. Abang kamu pun bukan selalu duduk situ. Asyik kat pelantar aje."

Oshin dah senyum. Faham sangat dah. Macam inilah keadaannya kalau telefon Mak Cik Kiah. Tadah ajelah telinga tu.

"Ya, orang tahu. Abang Min jemput esok. Dah siap kemas rumah dia, baru orang balik Kuala. Along dah balik, kan?"

"Hal kat sini kamu tak payah risau. Semua dah siap. Kak long kamu pun dah ada. Minggu lepas along kamu hantar. Pesan kat Abang Min tu, beli air botol, air kotak, gula, susu, teh dan kopi. Sediakan kat rumah. Beli aje cawan pakai buang tu," pesan Mak Cik Kiah di hujung talian.

Berkerut dahi Oshin. Nak bertandang sebelum pergi nikah kat rumah pengantin perempuan aje pun. Bukannya ada kenduri-kendara kat rumah Sharimin tu.

"Nak buat apa semua tu, mak?"

"Buat apa-apa? Nak jamu orang le. Kita kan bertolak dari Kuala ni lepas sarapan. Makan tengah hari nanti pihak pengantin perempuan hantar kat sana. Sementara tunggu tu, mesti nak sediakan air," jelas Mak Cik Kiah panjang lebar.

"Ooo... Mak, orang jemput semua kawan sekolah datang tau. Orang nak jumpa sebelum terbang. Boleh kan, mak?"

"Hmmm... Jemput, jemput. Mak pun jemput semua kawan-kawan arwah abah kamu kat berek polis tu dulu datang. Kebetulan, hari tu mak terjumpa Mak Mah dengan Tok Brahim kat kedai makan Pengkalan Balak tu. Kamu ingat tak?"

Oshin terus terdiam. Nama Tok Brahim tu dia ingat sangat. Itu nama ayah abang gempal a.k.a crush yang dicari sebelum ni.

"Ingat kut, mak. Dia ada anak, kan? Siapa nama dia? Orang dah lupa."

"Haah. Si Zim tu kawan Abang Min kamu. Ala, yang selalu usik kamu dulu tu. Anak Jepun Gelap, Anak Jepun Gelap dipanggilnya kamu," cerita Mak Cik Kiah.

"Ooo... Abang gempal tu. Ingat le. Salah abah le, letak nama orang Oshin. Macam nama orang Jepun. Tu yang selalu kena ejek tu. Benci tau."

Mak Cik Kiah sengih lebar. Kenangan masa arwah suaminya masih bertugas sebagai pemandu polis dulu terimbau kembali.

Keakraban mereka. Kenakalan anak-anak. Dan semangat kemasyarakatan tu sangat tinggi. Nak pula bila dia ditimpa musibah. Arwah meninggal dalam tidur di rumah ketika anak masih kecil. Oshin baru sepuluh tahun pada ketika itu. Anak sulung pula, di Jepun. Dan Sharimin, tengah tunggu keputusan SPM.

"Tok Brahim tu banyak tolong kita masa arwah abah meninggal dulu, Shin. Ingat lagi dia pada kita." Suara Mak Cik Kiah bergetar.

Berubah wajah Oshin di hujung talian. Dia masih ingat insiden hari tu. Sampai bila-bila pun dia masih tetap ingat memori pilu tu.

"Abah, bangun bah. Abah! Abah selalu main-mainkan Shin. Bangun, bah," ngongoi Oshin sambil menggoncang tubuh kaku Hassan.

"Shin, jangan macam ni, nak. Kita duduk luar, ya?" pujuk Tok Brahim. Cuba dipegangnya bahu Oshin, tapi ditepis berkali-kali.

"Tak nak. Shin nak kejut abah. Abah dah janji nak tunjukkan Shin macam mana nak pasang karburetor tu, tok. Hari ni abah tak kerja. Abah, bangunlah bah."

Sharimin yang merah mata akibat menangis terus masuk ke dalam bilik. Dipeluk Oshin dari belakang dan ditarik keluar. Oshin meronta-ronta sambil menjerit.

"Orang nak abah. Abang lepaslah. Orang nak kejutkan abah."

"Abah dah tak adalah, Shin. Abah dah mati!" tengking Sharimin.

Oshin terus mengongoi. Jatuh di simen luar rumahnya. Jiran yang ada di situ hanya diam. Tak tahu nak pujuk macam mana. Mak Cik Kiah pula lesu di ruang tamu, buntu dan terkejut.

"Baru malam tadi kita makan sate sama-sama dengan abah. Abah sihat. Abah tak boleh mati. Shin nak kejut abah. Shin..." Oshin bangun. Air mata dikesat dengan belakang tapak tangan.

Sharimin terus peluk Oshin. Tak benarkan Oshin masuk balik dalam rumah.

"Abah dah tak ada, Shin. Dah tak ada," bisik Sharimin.

"Shin nak abah, bang," ngongoi Oshin.

Pelukan Mak Cik Kiah yang merangkul mereka sekali gus buatkan Sharimin yang menahan air mata pun turut ikut menangis bersama Oshin.

"Shin! Shin! Shin! Ya Allah, budak bertuah ni. Boleh pula dia berangan," bebel Mak Cik Kiah di hujung talian.

Oshin tersenyum kelat. Sudah lebih dua belas tahun abahnya meninggal. Sejak itu, mereka berpindah duduk di rumah yang dibina abah di Kuala Sungai Baru.

"Mana ada berangan? Tengah ingat rupa Tok Brahim dan Mak Mah tu macam mana. Mesti dah ada cucu kan, mak?"

Mak Cik Kiah gelak. Anak-anak muda sekarang, lambat nak kahwin. Nak pula yang dah berkerjaya profesional. Tunggu dah stabil baru nak nikah.

"Belum. Sepesen dengan along dan Abang Min kamu juga tu. Tunggu dah stabil baru nak nikah. Eh! Dahlah. Mak nak ke dapur. Kesian kak long kamu buat semperit sorang-sorang."

"Laaa... Mak dera menantu rupa-rupanya. Orang repot kat along nanti, baru mak tahu. Yalah. Nanti apa-apa orang roger mak balik. Cakap kat along tu jangan risau. Orang dah besar. Boleh uruskan hal orang sendiri."

Sempat lagi Oshin minta Mak Cik Kiah sampaikan kata hatinya pada along.

"Yalah, mak bagi tahu. Tapi kamu tu cuba jangan degil sangat. Abang-abang tu, ambil berat sebab dia sayang. Dia nak tengok kamu senang. Bukan mengongkong kamu. Dah kamu tu ambil bidang kerja lelaki, memanglah along kamu bangkang. Cuba pilih bidang yang sesuai untuk orang perempuan, tak adalah dia risau."

Oshin mengeluh. Dia tahu along tak berapa berkenan dengan sikapnya yang suka bergelumang dengan enjin kereta. Ditokok tambah pula, berkawan dengan ramai lelaki yang minat kereta. Tapi itu minatnya. Teknologi kereta!

"Orang anak ayah, mak. Assalamualaikum."

Oshin terus putuskan talian. Terasa hati dengan sikap along dan Mak Cik Kiah yang kurang berkenan dengan bidang yang ingin diterokai.

"Abah, orang janji bah. Orang akan jadi doktor kereta macam yang abah selalu cakap kat orang. Doktor pakar kereta."

You are reading the story above: TeenFic.Net