*4*

Background color
Font
Font size
Line height

"Assalamualaikum."

Pintu rumah dibuka. Gelap suasana di dalam kerana cuaca yang sedang hujan menjelang senja. Waktu sudah pun hampir Maghrib. Anis selamat sampai di rumahnya di Pangsapuri Menara Desa. Kedudukan rumahnya di bahagian paling hujung menambahkan lagi keadaan sunyi.

Anis tertoleh-toleh ke belakang melihat jika ada sesiapa yang mencurigakan. Kemudian cepat melangkah masuk dan mengunci pintu. Hati siapa yang tenang tinggal berseorangan di rumah? 

Lagi-lagi apabila suaminya sedang keluar bekerja. Perasaan kembali tenang selepas pintu hadapan ditutup. Rasa selamat di dalam lingkungan rumah 1098 kaki persegi yang hanya ada satu pintu keluar itu.

Sori, baru sampai rumah. Nak gi mandi sat. Anis membalas mesej WhatsApp suaminya yang diterima sejam yang lalu. Ketika memandu, dia jarang menggunakan telefonnya. Faisal juga sudah tahu tabiat Anis itu. 

Tanpa menunggu balasan untuk mesej yang dihantarnya kepada Faisal, Anis terus ke bilik mandi untuk membersihkan diri. Baju kurungnya agak lencun. Hujan membasahi tubuhnya saat dia berjalan dari pejabat ke KL Sentral. Teringat akan Faisal. Kadang-kala cintanya itu hendak mandi bersama. Permintaan kebudak-budakan tapi dia rasakan romantis, manis seperti gula tumpah.

Selesai membersihkan diri dan berwangi-wangian, Anis berjalan menuju ke arah meja tulis suaminya. Rindu pada tuannya. Bila tiada jasadnya, barang kepunyaannya sudah cukup buat pelepas rindu. 

Bibir Anis tersimpul kelat melihat keadaan meja itu. Sentiasa berselerak dengan kertas A4 yang penuh dengan contengan dan nota-nota pendek tiada hujung pangkal. Akhirnya dia mengemas kertas-kertas itu dan menyusun kembali buku-buku yang ada.

Setelah selesai, Anis bercekak pinggang dan menghela nafas puas. Tapi entah macam mana hatinya menyuruh tangan untuk mengambil sebuah buku yang berwarna ungu yang disusunnya tadi. Warna yang agak menyerlah berbanding buku yang lain. 

Diambilnya lalu diselak rawak. Pelbagai nota dan coretan pendek di dalam. Faisal pernah memberitahu yang buku itu merupakan buku catatannya ketika dia masih belajar di Perancis. Tidak hairanlah seandainya dia terjumpa nota-nota kuliah berbahasa Perancis.

Selakannya terhenti di sehelai mukasurat. Hanya sebuah perkataan M'ADSL yang ditulis besar dan dilorek penuh dengan pen. Terdetik rasa curiga apakah maksudnya. Anis menyelak lagi. Muka seterusnya tercatat tulisan panjang dalam bahasa Perancis. Urutan dan susunannya Anis rasakan sebuah puisi atau lirik lagu. Tapi apa yang menggusarkan hatinya adalah coretan pendek di bawah muka surat itu:

Dedicated to the one I love but could never be with.

Kringg! Kriing!

Terkejut Anis mendengar telefon bimbitnya berbunyi di ruang tamu. Buku diari itu ditinggalkan lantas dia bergegas untuk mengangkat panggilan. Mungkin dari suaminya.

"Hello? Assalamualaikum."

Anis terpana seketika. Bukan suara suaminya yang memberi salam. Dijauhkan semula Samsung Galaxy Note 5 dari telinga untuk melihat. Jelas bukan nombor yang pernah dilihatnya.

"Hello? Ini Anis ke? Khairunnisa binti Abdul Rashid?" Suara itu kedengaran lagi. Hati Anis menjadi kurang senang. Jarang sekali orang yang tidak dia kenali menelefon. Lagi-lagi seorang lelaki.

"Wa'alaikumsalam. Ini siapa ye?"

"Ini Faiz. Tengku Faiz Fadhzin. Ini Anis ke? Ni Fad laa... kenal lagi tak?"

Ini kejutan kedua Anis untuk hari ini. Nama Fad tidak asing lagi buat Anis. Nama itu sudah lama dia kuburkan. Ditanam dalam-dalam agar ia menjadi barang tinggalan yang pupus dimakan zaman, supaya tiada lagi memori dan ingatan di antara mereka bersama. Fad, bekas kekasihnya saat dia di kolej dulu. Kalau diikutkan hati mahu sahaja dia mematikan panggilan, namun jiwa matangnya menasihatinya agar berfikir rasional.

"Kalau nama Fad tu, mestilah aku kenal," nada Anis berubah dingin.

"Uuuiihh... turn cold terus! Takpe... aku faham... aku faham. Macam aku cakap dulu, I'm sorry, okay? Bukan jodoh kita bersama. But we still could be friends, right? And I come in peace."

Anis mengerut kening. Tidak pasti apa yang dimahukan lelaki itu.

"Pffft... ye la tu. Eh, mana kau dapat nombor aku? Apahal tetiba call aku ni?" Nada suaranya agak meninggi.

"Gini... Mak aku nak pindah rumah. So hari tu masa kemas bilik aku kat sana aku ada terjumpa something." Suara di hujung talian tetap tenang.

"Apa kaitan dengan aku?"

"Aku jumpa barang-barang yang kau bagi aku dulu. Kau nak balik?"

"Kau boleh buang je barang-barang tu." Cepat sahaja soalan dijawab. Hatinya terus meluat. Perbualan ini harus ditamatkan secepat mungkin. Semakin lama semakin terbuka kesan parut lama. Kisah Fad dan Anis tidak patut muncul di antara cerita Faisal dan Anis.

"Ada gambar-gambar kau wei. Kau tak nak?"

"Buang je la."

"Kau tak takut aku simpan?"

Anis terdiam. Gusar mencengkam. Di era media sosial ini, pelbagai bentuk musibah boleh berlaku dengan gambar. Jika digabungkan dengan syirik dan khurafat, ia menjadi koktel penghancur kehidupan seseorang termasuk orang di sekelilingnya.

"Ey! Bukan kau pun dah kahwin? Tak takut bini kau tau?" Anis cuba menduga.

"Hah? Er... er... bini aku dah tengok dah pun. Dia tau yang aku call kau ni untuk tanya. So kau nak balik tak? Ada gambar masa kau kecik ni! Comel woi, sayang gila nak buang!"

Anis terdiam seribu bahasa. Dia tidak mampu memberi jawapan yang sesuai.

***

Keesokan hari, Lapangan Terbang Miri.

Faisal membuka botol air mineral yang dibelinya sebentar tadi dan meneguk sedikit untuk menghilangkan dahaga. Cuaca pagi ini dia rasakan agak kering walau hujan semalaman. Dia minum lagi sambil melihat-lihat ke ruang bangku yang ada berdekatan bilik taklimat keselamatan. Ramai juga yang bakal ke laut sepertinya hari ini. Mereka semua akan menaiki helikopter ke tempat kerja mereka di lautan.

"I guess we are meant to be together."

Faisal menoleh laju dengan air yang masih penuh dalam mulut. Matanya terbeliak memandang wajah yang dia kenali. Gadis seiras Selena Gomez semalam yang menegurnya di ruang tuntutan bagasi. Hampir tersembur dek terkejut melihat kemunculan gadis itu sekali lagi. Dan dia juga memakai baju coverall sama seperti dirinya, cuma berlainan warna. Baju Faisal merah dan baju gadis itu kuning. Coverall kuning di arena minyak dan gas bermaksud, dia adalah pekerja syarikat Petronas.

Faisal menelan kuat memaksa air masuk ke kerongkong. Dia cepat-cepat mengesat dengan lengan baju sisa air yang terlepas di tepi mulut. Selekeh. Tapi itu lebih baik daripada membasahi wajah gadis itu dengan air bercampur liurnya tadi.

Gadis itu menutup mulutnya kerana ketawa kecil. Matanya yang tadi bulat mengecil sepet dek senyuman yang disembunyikan di balik jari-jemarinya yang runcing halus. Dia terus duduk di sebelah Faisal tanpa dijemput. Bau wangi menerpa ke ruang nafas. Entah kenapa tiba-tiba hormon endorfin mula meracuni darah menyebabkan dia melemparkan senyuman secara automatik. Teringat si gadis hanya memberi nama semalam.

"Well, Syaza, my secret admirer, it's time for you to reveal yourself."

Gadis manis itu tersenyum. "Nama penuh I Syazhani. Hani, kalau you jadi boyfriend I."

Gadis itu merehatkan tangan di paha yang sudah disilangkan. Tidak diduga dia memanah usikan berserta kenyitan mata. Tepat menusuk jiwa kerana panahan berbisa itu. Berdebar dada Faisal menatap renungannya.

"O-okey... you memang berminat nak jadi girlfriend I ye? Tapi kenalah you bagitau macam mana you kenal I dulu." Faisal cekap bermain kata sambil memberi senyuman penuh makna. Di kala ini lelaki tetap menjadi lelaki. Cuma pendirian masing-masing yang membezakan.

"I roommate dengan Dhiya masa matriks dulu la... you kat France masa tuh. Dia selalu cerita pasal you," jelas Syaza dengan jujur kali ini.

Faisal terdiam mendengar nama Dhiya. Dhiya atau Faradhiya adalah cinta pertama Faisal. Cinta pertama yang kesimpulannya adalah angin. Hubungan yang kemudian berakhir dengan sia-sia. Bukan kenangan manis yang suka untuk dia ingati.

"Oo... selalu la dia tunjuk muka saya dulu ek? Apa khabar dia sekarang?" Kening kanan digaru. Hatinya sedikit membungkam teringat-ingat kisah lama.

"A'ah, dia selalu tunjuk gambar you. Your scar made you recognizable yesterday." Syaza sekali lagi menuding pada parut Faisal.

Faisal terus segan dan serta-merta menutup parutnya dengan tangan. Syaza ketawa kecil lagi. Manis, tidak jemu dipandang. Otot bibir Faisal masih mengukir senyuman meleret. Tangannya kali ini menggaru dagu berjanggut sejemput. Jantung yang dari tadi berdegup luar ritma perlu diredakan. Derauan darah ditenangkan. Siapa yang tidak sebegitu bila berhadapan dengan seorang jelitawan.

"You sebagai apa ni?" tanya Faisal yang cuba berbasa-basi. Soalan yang merujuk kepada pekerjaan Syaza di laut.

"ARD. All-Rounded-Driller. Lebih kurang macam Drilling Engineer tapi kitorang jenis fast track."

Faisal mengber-oooh separa faham. Pekerjaan Faisal tiada kaitan dengan operasi minyak dan gas, jadi dia kurang pasti apa beza antara nama-nama jawatan dalam bidang itu. Dia hanya tahu kabel LAN, IP address, ping serta kosa kata lain dalam teknologi maklumat.

"You pulak?" Syaza sempat mencuri lihat logo kompeni yang terpampang di bahagian kiri dada Faisal.

"I'm the internet guy."

"The most important one I guess, kan?"

"Tak la. Biasa-biasa je."

"Biasa-biasa pun, awak internet guy yang boleh cakap French. Cakap sket boleh?"

"Cakap apa?"

"Emmm... apa-apa je. Nak dengar."

Permintaan yang kerap kali diminta. Dengar sahaja mampu berbahasa lebih dari Melayu dan Inggeris, sudah pasti mereka ingin mendengar yang ketiga. Boleh sahaja dia memaki-hamun secara lembut dan tenang. Kemudian menipu memberi maksud. Tapi dia tidak boleh buat begitu sekarang. Gadis di hadapannya perlu diberi sebuah impresi sehingga berbekas di hati.

"Enchante mademoiselle. Je m'appelle Faisal. J'ai 28 ans. Je viens de Kuala Lumpur," kata Faisal sambil mengajuk suara garau dan dalam yang menjadi kebiasaan warga Perancis bila berbicara. Tangannya juga turut serta dalam lakonan.

Syaza tertawa riang mendengarnya. Celoteh Faisal berhenti setakat itu. Tanpa diminta, dia menjelaskan apa yang dikatanya tadi sekadar pengenalan diri, nama, umur dan asal. Cukup untuk sekadar hiburan.

"I tau gak French sikit-sikit tau," akui Syaza selepas itu.

Faisal mengangkat kening. Syaza mengerling ke atas seperti cuba mengingat sesuatu yang telah lama dilupakan.

"Ermmm.... Voulez vous... coucher.... avec moi... ce coir..." ujar Syaza perlahan, riaknya kelihatan sedikit ragu-ragu namun dia kemudian tersenyum nakal.

Faisal terpempan. Dia merenung wajah gadis itu penuh curiga. "Errr... you tahu ke maksudnya?"

"Hehe... tak. Sebab I dengar dari lagu Lady Marmalade. What does it mean?"

"Tu laaa... lain kali tengok sikit lirik lagu tu. Jangan main sebut je. Maksud ayat tu... erm... would you like to sleep with me tonight?" jelas Faisal perlahan. Wajahnya terasa panas tiba-tiba, seolah-olah ajakan itu ditujukan padanya pula.

"Oh my god! Hahahahahaha!" Syaza ketawa besar sebelum menekup mulutnya dengan tangan.

Faisal hanya tersenyum sumbing. Jika tadi Syaza benar-benar mengajaknya tidur bersama, Faisal tidak pasti sama ada dia boleh berkata tidak. Di laut bagaikan hotel mewah yang tiada pegawai agama akan datang menyerbu. Benteng yang tinggal hanya pintu, zip dan seluar dalam.

"Crew to Stella Fortuna, please proceed to briefing room." Muncul seorang pegawai lapangan terbang memberi pengumuman. Syaza dan Faisal serentak bangun dan melangkah ke bilik yang diarahkan.

"God, Dhiya just missed having a very interesting person. Ruginya dia..." ujar Syaza tiba-tiba dari sisi. Faisal memandang. Syaza membalas diikuti dengan senyuman. Faisal berpaling semula ke depan. Perasaannya berbaur. Gembira bercampur resah. Teruja bercampur gelisah. Yang pasti pengalaman lautnya kali ini memang akan berbeza.

* * *

Ran sedang duduk menunggu di Old Town White Coffee di Boulevard. Kepalanya yang tidak bertopi menyerlahkan rambut perang yang disikat kemas ke belakang. Kot panjangnya yang sedikit lembap disidai di kerusi depan. Waktu sudah masuk tengahari. Dia sepatutnya bertemu dengan orang Laguna di sini.

Hatinya terdetik untuk memandang ke arah kiri. Kelihatan dua orang berkulit gelap dimamah mentari berjalan ke arahnya. Mereka hanya memakai t-shirt tanpa kolar yang tidak berlogo. Wajah tampak bengis dengan kulit coklat yang kasar dan gelap kerana terdedah dengan cahaya matahari dan air masin.

"You! Speak Malay?" tanya salah seorang daripada mereka sebaik menghampirinya. Tiada sebarang sapaan hormat. Ran mengetap bibir. Ternyata mereka adalah orang yang dia tunggu.

"Kau nak aku cakap apa?" soal Ran kembali sambil memeluk tubuh. Ran sudah lama beroperasi di Asia Tenggara. Lidahnya tidak kekok untuk berbahasa Melayu. Kepandaiannya menguasai pelbagai bahasa membolehkan dia melakukan infiltrasi ke mana-mana negara.

"Bagus. Naik kereta sekarang." Wakil Laguna mengisyaratkan ke arah teksi yang baru sahaja diparkir berdekatan. Situasi seakan-akan tegang. Ran mengetuk-ngetuk perlahan meja sebelum bangkit dan menurut. Dia terpaksa melapangkan dada untuk bekerja dengan orang lain demi kejayaan Descartes.

You are reading the story above: TeenFic.Net