BAB 1

Background color
Font
Font size
Line height


Hospital Serdang. 5.35 petang

Gelap

HUH...

Aku mengambil nafas. Sejurus menghembuskannya dengan tenang, aku mula mencelikkan mata. Baru sedikit kelopak mata aku buka, cahaya terang menusuk masuk ke dalam mata. Silau yang teramat. Cepat-cepat aku kembali menutup mata.

Beberapa saat setelah itu, cubaan yang sama aku lakukan. Untuk beberapa ketika, aku cuba membiasakan mataku dengan suasana sekeliling. Meskipun belum dapat meneka di manakah aku berada kini, aku cuba untuk terus tenang sehingga mataku sudah benar-benar tidak berasa silau lagi. Nafas juga aku hirup dan hembus dengan tenang.

Kali ini baru terasa bahawa hidung dapat kembali menghidu.

Bau ni...

Aku berkerut. Dalam keadaan berbaring, aku menoleh kepala ke kanan dan kemudiannya ke kiri. Segala alatan dan suasana keadaan sekeliling mula memberitahu minda di mana aku kini berada.

Hospital?

Baru satu pertanyaan yang bergema dalam kepala. Aku sendiri tahu sebentar sahaja lagi banyak soalan akan menerjah minda, maka aku bersedia untuk itu walaupun tidak punya jawapan yang pasti. Tatkala kepala digerakkan kembali menghadap siling, baru terasa denyutan di bahagian belakang dan tengah kepala.

Tangan kiri segera aku bawa ke atas, meraba kepala yang kini berbalut. Aku lihat pula tangan kanan. Jarum halus ditusuk pada bahagian belakang tapak tangan, ditampal dengan pelekat putih dan disambung pada wayar yang menjadi laluan air untuk masuk ke dalam badan. Branula. Aku tahu kerana abah seorang pensyarah perubatan.

Apa semua ni?

Pertanyaan kedua pula bergema.

Relaks, Zuhair... aku menenangkan diri walau dalam keadaan bingung tahap mega giga tera punya waktu ni. Dengan tiada orang di sisi katil, dan juga dengan kawasan yang ditutupi dengan langsir hijau, mahunya aku tidak bingung. Belum kira dengan keadaan diri sendiri yang dah macam apa entah.

Kepala berbalut, kaki macam boleh tak boleh nak gerak, lengan lebam-lebam...

Aaargh...!

Suara dalam hati aku menjerit. Kepala mula mentafsirkan beberapa perkara supaya aku kembali tenang dan mengenal pasti apa yang berlaku ketika ini. Aku, Zuhair Amir bin Amran sedang berada di hospital. Dalam keadaan fizikal yang dilihat dan aku kenal pasti sebentar tadi, menunjukkan seolah-olah aku baru sahaja terlibat dengan satu kemalangan yang menyebabkan aku mengalami kecederaan fizikal sebegini rupa.

Tapi kemalangan apa?

Satu suara yang seolah-olah meronta kebengangan kerana tidak mampu sabar dengan kebingungan yang melanda bertanya, mematikan segala interpretasi yang menjadi tanda tanya dalam minda. Sudahlah tidak tahu apa yang menimpa diri, ditambah pula apabila fikiran mula kembali bertanyakan begitu banyak soalan.

Hari ni hari apa?

Pukul berapa sekarang?

Mana semua orang? Abah? Along?

Kenapa aku dekat sini?

Lengan kiri yang aku letakkan di dahi bergerak turun, menutupi mata. Nafas berat kuhela. Terlalu banyak soalan. Tanpa satu jawapan pun yang menjawab. Maka aku mengambil keputusan untuk berdiam sehingga akhirnya aku terlelap kembali.

You are reading the story above: TeenFic.Net