BAB 9

Background color
Font
Font size
Line height

SALAH seorang daripada mereka turun dari motosikalnya. Dengan senyuman sinis, dia membuka sarung tangan hitamnya sambil mengayun langkah mendekati Hazel.

Hazel menelan air liur.

"Hei!"

Teriakan itu membuatkan perhatian kumpulan penunggang motosikal itu beralih. Termasuklah Hazel. Masing-masing menoleh pada satu kelibat yang sedang berdiri di lorong sebelah.

"Jauhkan diri daripada dia!" jerit kelibat itu lagi.

"Kau siapa?!" Lelaki yang mahu mendekati Hazel tadi berpusing dan menukar arah.

"Lepaskan perempuan tu!"

"Geng! Hero sudah mari!"

Mereka mula menjerit dan membuat kecoh. Masing-masing menyindir kelibat yang baru muncul itu. Namun, mereka mendiamkan diri apabila lelaki yang mahu mendekati Hazel tadi mengangkat tangannya.

Lelaki itu memberi isyarat tangan kepada salah seorang temannya. Temannya yang mengerti isyarat itu terus mengubah motosikalnya. Cahaya daripada lampu motosikal itu dihalakan pada kelibat itu.

"Hulk Hijau?" Hazel menutup mulutnya dengan tangan.

Haqq menahan silauan cahaya lampu motosikal dengan lengannya.

"Bro, ada berani ke nak lawan kita orang semua ni? Baliklah!" Lelaki yang bertindak sebagai ketua kumpulan itu bersuara.

Mereka yang lain menyokong kata-kata lelaki itu dan mentertawakan Haqq. Mereka kembali membuat riuh. Ada yang menyuruh Haqq berambus dari situ.

"Kau orang lepaskan dulu perempuan tu. Baru kita tengok siapa yang berani dan siapa penakut." Haqq mencabar.

"Wah! Cakap hebat nampak, bro. Kita orang ramai. Lu sorang saja."

Saat itu juga, kedengaran deruan sebuah motosikal. Dari jauh, cahaya motosikal itu semakin mendekati tempat mereka. Sampai sahaja di bulatan yang dibuat oleh kumpulan motosikal itu, sebuah Ninja melonjak tinggi, cuba melepasi halangan yang dibuat oleh kumpulan itu.

Di tangan penunggangnya pula ada sebatang kayu panjang. Dia melibas kayu itu ke arah mereka sehingga memaksa mereka merendahkan kepala dan motosikal mereka untuk mengelak libasan itu. Bulatan yang dibuat oleh mereka terurai. Mudah sahaja bagi penunggang itu masuk ke dalam lalu menghentikan Ninjanya di sebelah motosikal Hazel. Kedengaran kuat bunyi seretan tayar yang berlaga di atas jalan.

Hazel ternganga melihat aksi stunt yang baru dilihatnya.

"Nuh? Kenapa awak ada kat sini?" Hazel cukup kenal dengan Ninja di sebelahnya walaupun tidak melihat wajah penunggangnya.

Lelaki itu membuka cermin fullfacenya lalu terlihatlah sepasang mata. Nuh mengenyitkan mata.

"Awak okey ke?" Nuh menanggalkan helmet.

Mata Haqq mengecil memandang Nuh yang baru muncul. Dia tahu Nuh sentiasa memerhatikan Hazel. Namun, dia tidak tahu atas tujuan apa. Situasi sekarang menunjukkan bahawa Nuh sedang melindungi Hazel.

"Saya okey." Hazel mengangguk.

"Dia bukan seorang diri, bro." Nuh memandang lelaki yang menjadi ketua kumpulan motosikal itu.

"Woo... Takutnya." Lelaki itu berpura-pura takut. Kemudian, mukanya kembali serius. Tajam matanya memandang Nuh tidak jauh daripadanya.

"Bro, kau orang berdua aje. Kita orang ramai. Apa yang kau orang boleh buat?" Mereka semua ketawa lagi.

"Haqq!" Nuh menjerit nama Haqq. Tangannya menarik sebatang lagi kayu yang dibawa lalu membaling kayu itu ke arah Haqq.

Kayu itu melayang laju lalu melepasi kumpulan motosikal itu dan menuju tepat kepada Haqq. Dengan tangkas, Haqq menangkap kayu itu. Tepat dan kemas.

"Bismillahirrahmanirrahim. Bismillahisyafi, bismillahimuafi, bismillahikhafi, bismillahimua'fi, bismillahillazi layadurruma ashmihi syaiyidulfilardhi walafissamai wahuwassamiunalim..."

Dengan zikir lima bismillah dan dengan kayu yang dipegang kejap di tangannya, Haqq memulakan langkah pertama. Dia melibas mereka yang berada paling hampir dengannya. Kedengaranlah suara perempuan-perempuan yang membonceng berteriakan. Mereka melarikan diri ke tepi untuk mengelak serangan.

Beberapa orang lelaki daripada kalangan mereka cuba membalas serangan Haqq. Namun, Haqq terus melibas kayunya sehingga dia dapat menghampiri Hazel dan Nuh. Kini, mereka bertiga berada di tengah-tengah bulatan kumpulan motosikal itu.

"Tak sangka kau masih tangkas," kata Nuh dengan nada menyindir. Dia yang berada di posisi tengah antara Hazel dan Haqq, turun dari Ninja.

"Bro, aku lagi tak sangka jumpa kau dekat sini," balas Haqq.

"Well, surprise!" Nuh menjulingkan mata.

"Korang berdua... kenal ke?" Kening Hazel terangkat.

Haqq dan Nuh berpandangan seketika. Namun, tiada siapa yang menjawab soalan Hazel.

"Kau kenal dengan tuan rumah aku?" Nuh menyoal Haqq.

"Please... focus on the battle," kata Haqq.

Nuh kembali memandang sekeliling mereka. "So, kau rasa kita boleh handle dia orang ni?"

"Boleh atau tak, kita dah ada dekat sini. Dah takde pilihan." Haqq mengangkat kayu di tangannya lebih tinggi.

"Yup, I agree. We have no choice but to face them." Nuh ikut mengangkat kayu yang ada di tangannya, tanda dia sudah bersedia untuk menyerang.

"Cik Amnesia, ketatkan helmet awak." Haqq beralih ke sisi Hazel. Kini Hazel berada di tengah-tengah antara mereka berdua.

"Cik Amnesia?" Kening Nuh berkerut.

"Kau tak payah ambil tahulah. Ini rahsia kami berdua. Kan?" Haqq mengenyit mata kepada Hazel.

Nuh tayang muka tak puas hati.

"Hazel, awak pegang ni." Nuh mengeluarkan sebatang lagi kayu yang disembunyikan di celah jaketnya lalu dihulurkan kepada Hazel.

"Saya nak buat apa ni? Saya tak pandai berlawan." Hazel mencapai kayu itu dengan tangan yang terketar-ketar.

"Untuk pertahankan diri. Awak duduk di sini senyap-senyap. Kalau dia orang datang dekat dengan awak, angkat kayu tu dan libas," balas Nuh.

"Tapi... saya takut." Hazel menelan air liur.

"Kalau awak masih nak hidup dalam dunia ni, buang perasaan takut tu." Haqq mengemaskan genggamannya pada batang kayu di tangan. Matanya merenung tajam musuh yang berada di sekeliling mereka.

"Kalau saya terpukul dia orang dan dia orang mati, macam mana?" Tangan Hazel masih terketar-ketar.

"Itu lebih baik daripada awak yang kena pukul dan mati," kata Nuh.

"Saya akan jadi pembunuh. Saya akan trauma!" Hazel menggelengken kepala.

"Ketakutan juga satu kelebihan. Asalkan awak ubah modnya ke arah positif. You will feel the adrenaline." Nuh mengepal jari-jemarinya sehingga kedengaran bunyi meletup. Kepalanya tertelang ke kanan dan kiri untuk meregangkan urat lehernya.

"Woi! Tak habis meeting lagi ke? Dah boleh mula ke?" Ketua kumpulan bermotosikal itu bersuara.

Yang lain menyahut dengan tawa. Mereka semua bersantai di atas motosikal sambil memerhatikan tiga orang mangsa yang berada di tengah-tengah.

"Bro, kau dah bersedia ke?" Nuh melirik Haqq dengan ekor matanya.

"Berapa orang kau boleh tumpaskan?" tanya Haqq.

"Huh! Macam biasa. Lebih banyak daripada kau. I always win," balas Nuh dengan nada riak.

"Huh! We'll see." Haqq tersenyum senget.

"Dalam kiraan tiga... Satu." Nuh mula mengira.

"Dua," sambung Haqq.

"Tiga!" Kali ini mereka bersuara serentak. Dengan itu juga, mereka mara ke hadapan, meninggalkan Hazel di belakang.

Melihatkan mereka memulakan langkah, para lelaki daripada kumpulan itu juga turut meluru ke hadapan. Mereka menyerang Haqq dan Nuh. Namun, langkah mereka dengan mudah sahaja dipatahkan Nuh dan Haqq. Jelas menunjukkan mereka semua tiada asas seni mempertahankan diri. Tetapi jumlah mereka yang ramai adalah kekuatan mereka.

"Encik Haqq!" Hazel menjerit apabila melihat ada seorang daripada mereka cuba menyerang Haqq dari belakang.

Dengan pantas, Haqq membongkok dan mengangkat kakinya ke belakang. Lelaki yang cuba menyerangnya dari belakang itu terpelanting. Dia jatuh bergolek di lantai jalan. Saat itu, Haqq melihat seorang lagi di antara mereka cuba mendekati Hazel tanpa Hazel sedari.

"Hazel!" Haqq menjerit, memberi amaran kepada Hazel.

Hazel mengeratkan genggaman kayu di tangannya. Namun, dia tidak mengerti jeritan Haqq itu adalah satu amaran untuknya.

Haqq terus berlari mendekati Hazel. Kayu di tangan terus dilibas apabila ada yang menghalang jalannya. Tanpa disedari, satu tumbukan hinggap di perutnya. Darah pekat tersembur dari mulutnya. Dia tertiarap ke lantai jalan. Namun, dengan pantas dia memusingkan badan dan menendang semula perut lelaki yang menyerangnya. Haqq kembali bangun dan berlari mendapatkan Hazel.

Hazel yang melihat kejadian itu terus terpaku. Haqq sedang berusaha berlari ke arahnya. Kayu di tangannya hanya digenggam erat. Dia tidak tahu hendak berbuat apa. Mata Haqq yang tidak lepas daripadanya membuatkan dia terus memerhatikan lelaki itu. Sedikit sahaja jarak untuk sampai kepadanya, Haqq menghulurkan tangan. Melihatkan itu, Hazel menghulurkan tangan untuk mencapai tangan Haqq.

Tangan mereka bersatu. Haqq terus menarik Hazel ke dalam dakapannya dan memusingkan badannya untuk melindungi Hazel sehingga lelaki yang cuba menyerang Hazel mengenakan serangannya ke atas Haqq. Haqq mengerang. Tetapi dia masih mempunyai tenaga untuk menyerang balas sambil melindungi Hazel. Lelaki itu ditendangnya dengan kuat sehingga terpelanting ke belakang.

Siren polis kedengaran. Beberapa buah kereta polis mula kelihatan.

"Polis! Lari!"

You are reading the story above: TeenFic.Net